VOGE Racing Team Tamatkan Penantian Podium
Kejayaan Md Muzakkir Mohamed menjadi podium pertama buat VOGE Racing Team yang mula menyertai pentas perlumbaan berprestij tempatan Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix pada musim 2025
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
10/19/20261 min read


VOGE Racing Team menamatkan penantian untuk berada di pentas podium kancah elit CP150 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix apabila pelumbanya, Md Muzakkir Mohamed menamatkan perlumbaan di Litar Antarabangsa Sepang (Selatan) di tempat ke-3.
Kejayaan Muzzakir itu menjadi podium pertama buat pasukan itu yang mula menyertai pentas perlumbaan berprestij tempatan itu pada musim 2025.
Seperti diketahui, Voge Racing Team yang menggunakan jentera Voge FR150 tiba di grid Cub Prix bersama pengalaman daripada bekas juara Asia dan bekas pelumba Moto2 negara, Azlan Shah Kamaruzaman sebagai Prinsipal pasukan.
Memulakan perlumbaan di petak ke-2, Muzakkir menamatkan perlumbaan yang berlangsung cukup sengit itu hanya dipisahkan 0.032 saat di belakang pemenang.
Di usia 34 tahun, Muzakkir menjadi antara pelumba paling berpengalaman di grid pentas Cub Prix pada musim ini.
Tampak seakan hilang kata-kata, Muzakkir ketika ditemuramah bersyukur dengan podium yang diraih yang dirasakan seperti kemenangan.
"Saya nak ucapkan terima kasih kepada seluruh keluarga Voge, MForce Bike yang menjayakan projek ini terutama Encik Asri Ahmad yang kerap turut padang memberi sokongan kepada kami. Motor China Power," katanya.
Sementara itu, dua lagi pelumba pasukan itu, Md Akid Aziz dan Md Afizi Supaat turut menamatkan perlumbaan dalam kelompok pungutan mata selepas masing-masing melepasi garisan penamat di tempat ke-8 dan ke-15.

