VOGE Racing Team Tekad Teruskan Momentum Di Sepang
Keyakinan itu didorong oleh keputusan yang diperoleh barisan pelumba Voge Racing Team pada aksi pembukaan musim di Tangkak, Johor dengan Md Afizi Supaat berjaya menamatkan perlumbaan di tempat kelima - keputusan terbaik buat pasukan itu setakat ini
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
5/20/20262 min read


PELUMBA Voge Racing Team, Md Afizi Supaat mengakui dia tiba ke Pusingan 2 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysia Cub Prix 2026 di Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS (Utara) bersama dengan keyakinan yang semakin tinggi.
Keyakinan dan semangat tinggi itu didorong oleh keputusan yang diperoleh Afizi pada aksi pembukaan musim di Tangkak, Johor, sebelum ini yang menyaksikannya berjaya menamatkan perlumbaan di tempat kelima - keputusan terbaik buat pasukan itu setakat ini.
Rentak positif yang menghadiahkan 11 mata berharga buat pasukan itu turut diperkukuhkan dengan keputusan rakan sepasukan yang juga adiknya sendiri, Md Afizad Supaat yang turut menamatkan saingan di tempat kesembilan dan menyumbang tujuh mata.
Keputusan konsisten dua beradik itu secara tidak langsung meletakkan Voge Racing Team di kedudukan kelima keseluruhan berpasukan, pencapaian yang mencuri tumpuan ramai.
Sebagai rekod, Voge Racing Team membuat debut di pentas Cub Prix pada musim 2025 dan mempertaruhkan Voge FR150 dengan pasukan itu mempunyai nama-nama besar di sebalik tabir antaranya Azlan Shah Kamaruzaman sebagai Prinsipal pasukan.
Menyifatkan pencapaian di Tangkak sebagai pembakar semangat terbesar, Afizi menegaskan ia menjadi isyarat jelas segala perancangan pasukannya kini sedang menuju ke arah yang tepat.
"Secara jujurnya, kami memang meletakkan sasaran untuk berada lebih dekat dengan kelompok hadapan pada musim ini. Jadi, keputusan di Pusingan 1 itu memberi keyakinan bahawa apa yang kami usahakan selama ini berada di landasan yang betul.
"Saya sangat bersyukur, tetapi pada masa yang sama, kami sedar masih banyak ruang yang perlu diperbaiki," katanya.
Mengimbau kembali fasa awal pembentukan pasukan, Afizi mengakui perjalanan Voge Racing Team bukanlah sesuatu yang mudah kerana mereka bermula dari sifar tanpa sebarang data asas ketika membuat penampilan sulung pada musim 2025.
"Saya nampak perkembangan pasukan sangat positif. Pada musim pertama, kami bermula dari kosong. Banyak perkara yang perlu dipelajari, terutama dari segi talaan jentera, pengumpulan data dan memahami karakter motosikal VOGE FR150.
"Setiap pusingan kami belajar sesuatu yang baharu, dan sekarang hasil kerja keras itu mula menampakkan perkembangan yang cukup menggembirakan," katanya.
Menurut Afizi, peningkatan prestasi jentera VOGE ketika ini adalah hasil adunan pengalaman yang dikutip sepanjang musim lalu, disokong oleh komunikasi yang semakin ampuh antara pelumba, kru dan pasukan teknikal.
Biarpun momentum pasukan kini berada pada tahap terbaik, Afizi tidak menafikan tekanan untuk kekal kompetitif sebagai sebuah pasukan pencabar turut bertambah berat.
"Bila pasukan mula menunjukkan peningkatan, harapan orang ramai juga pastinya semakin tinggi. Tapi bagi saya, itu adalah satu tekanan yang positif dan ia menjadi motivasi untuk kami bekerja dengan lebih keras," katanya.

