VOGE SR4 Max (2025) Sah Masuk Malaysia, 'Perang' Skuter Belum Reda!

TERKINI

3/11/20252 min read

VOGE Motorcycle setakat ini sudah menawarkan tiga model untuk pasaran tempatan dan perkembangan terbaharu, jenama motosikal premium China itu sah bakal menyertai 'perang' membabitkan skuter pada tahun ini.

Apa yang lebih menarik, penawaran daripada syarikat itu bukan 'biasa-biasa', tetapi model yang boleh dilabel sebagai 'kembar' kepada skuter premium, BMW C400 GT iaitu Voge SR4 Max.

Mungkin ada yang mempersoalkan mengenai label 'kembar' yang diberikan, kepada yang tak tahu, syarikat induk kepada Voge iaitu Loncin adalah firma yang diberikan tanggungjawab untuk membangunkan enjin untuk BMW Motorrad.

Justeru selain membangunkan enjin, Loncin turut mendapat manfaat daripada perkongsian teknologi berkenaan terutama membabitkan komponen yang digunakan termasuk kemudahan pemasangan syarikat itu di Chongqing, China.

Jadi tidak salah untuk menyatakan yang Voge SR4 Max adalah produk dari China namun memiliki 'DNA' dan kepakaran Eropah.

Dari sudut rekaan, Voge SR4 Max tampil dengan penampilan seperti skuter maxi tipikal yang diakui mempunyai ramai peminat di Malaysia.

Mengulas spesifikasi trenkuasa, Voge SR4 Max menggunakan enjin bersesaran 349.8 cc, 1 Silinder, 4 Injap, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, SOHC yang turut digunakan BMW C400 GT.

Ia kemudian digandingan dengan transmisi automatik CVT dengan kuasa dihamburkan adalah 33.5 Hp pada 7,500 rpm dan tork 35 Nm pada 6,000 rpm.

Sebagai skuter moden, antara sistem canggih yang dipadankan kepada Voge SR4 Max adalah Sistem AFS (Adaptive Front Lighting System), Sistem Anti-Kecurian, visor angin boleh laras elektrik, kamera pemuka (Dashcam) dan pemanas grid dan pelana.

Berikut adalah perinciannya:

  • Tinggi pelana 761 mm

  • Berat 207 kg

  • Tangki bahan api 12.8 liter

  • Set roda 120/70-15 (depan), 150/70-14 (belakang)

  • Brek cakera kembar dengan keliper J.Juan 4 Piston (depan), Cakera tunggal kaliper 1 Piston (belakang).

  • Sistem kunci pintar (E-start)

  • Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran

  • Sistem Kawalan Traksi (TCS)

  • Sistem lampu LED penuh

  • Panel meter TFT berwarna lengkap dengan sambungan ke telefon pintar

  • Ada TPMS (Sistem Pemantau Tekanan Angin Tayar)

  • Brek parkir

  • Sistem kunci pintar (Buka pelana, ruang simpanan depan, minyak, steering lock, penggera)

  • Pengecas USB dan 12V

  • Ruang simpanan bawah pelana mampu isi 2 helmet

Ketika di China, kami turut diberi peluang untuk menguji ringkas Voge SR4 Max di litar milik Loncin.

Berikut adalah ringkasannya:

  • Kuasa yang dimiliki Voge SR4 Max boleh diagak dengan penyampaian kuasa yang lancar dan responsif. Torknya juga cukup kuat untuk memberikan pecutan yang memuaskan.

  • Dari sudut keselesaan, rekaan pelananya boleh dikatakan cukup selesa dan menjadikannya sesuai untuk perjalanan bandar mahupun jarak jauh. Setakat ujian, sistem suspensi yang dibekalkan juga mantap dan memberikan kestabilan dan keselesaan tambahan.

  • Sekalipun hadir dengan berat sekitar 200 kg, tidak susah untuk mengendalikan skuter ini dan digabungkan dengan tayar jenama Pirelli, ia memberikan kawalan yang baik di atas jalan.

  • Sistem brek yang dibekalkan menggunakan kaliper J.Juan juga boleh dikatakan mantap dan mencukupi.

Tiba dengan nama Voge, satu lagi perkara yang boleh dijangka adalah angka harganya yang dijangka cukup menarik. Sama-sama kita nantikan.