VOGE SR450X, Jadi Ke Tak 'Gegar' MBS 2026?
Sejurus Voge SR450X membuat global pada pameran EICMA tahun lalu, perkembangan mengenai skuter gaya Adventure (ADV) itu sentiasa mencuri tumpuan peminat skuter dalam segmen berkenaan termasuk di Malaysia
TERKINI
5/25/20261 min read


SEJAK membuat global pada pameran EICMA tahun lalu, perkembangan mengenai skuter gaya Adventure (ADV), Voge SR450X sentiasa mencuri tumpuan peminat skuter dalam segmen berkenaan termasuk di Malaysia.
Atas keterujaan itu, pengedar eksklusif jenama Voge di negara ini daripada maklumat awal dilaporkan enggan menunggu lama dan berhasrat untuk membawa jentera pencabar 'takhta' skuter ADV aras tengah itu ke pasaran tempatan seawal tahun ini.
Tetapi di sebalik keterujaan itu, timbul persoalan yang kini bermain di fikiran peminat – adakah model menarik berkenaan akan benar-benar membuat kemunculan pada acara Malaysia Bike Show (MBS) 2026 tidak lama lagi?
Sehingga kini, tiada sebarang petanda atau bayangan jelas diberikan oleh pihak pengedarnya dan lebih mencetuskan tanda tanya, Voge Malaysia setakat ini hanya memberikan klu mengenai pelancaran dua model baharu, namun ia difahamkan terarah kepada segmen ADV Touring dan bukannya skuter.
Apa yang pasti, ketiadaan kelibat Voge SR450X di MBS 2026 kelak pastinya sedikit mengecewakan, memandangkan ia diramal bakal 'meletup' dan memberi impak besar sekiranya menembusi pasaran tempatan.
Bukan sekadar mempertaruhkan rekaan agresif dan menawan, 'senjata' sebenar yang menjadikan Voge SR450X begitu memikat adalah pada unit rangkaian kuasanya yang disifatkan berbeza berikutan menggunakan konfigurasi 2 silinder.
Tidak seperti kebiasaan pencabar lain dalam segmen yang sama, Voge SR450X tampil dengan nadi dua silinder bersesaran 398 cc – satu spesifikasi enjin yang sangat jarang atau mungkin belum wujud dalam kelas skuter ADV di mana-mana pasaran.
Ditambah dengan rekaan garang yang menarik, ia menghaburkan kuasa 41.85 Hp pada 8,000 rpm serta tork 44 Nm pada 5,750 rpm.
Jadi, adakah Voge Malaysia sengaja menyimpan skuter berprestasi tinggi ini sebagai 'kejutan besar' pada saat akhir di MBS 2026, atau peminat terpaksa menunggu lebih lama, ia pastinya satu teka-teki yang mendebarkan buat komuniti skuter ADV tempatan.

