VOGE SR450X Masuk Malaysia Tahun Ini, Pencabar 'Takhta' Skuter Bergaya 'ADV'?
Berdasarkan maklumat yang diperoleh, pihak pengedar eksklusif Voge di Malaysia enggan menunggu lama untuk membawa Voge SR450X (2026) ke pasaran tempatan dan menariknya, seawal tahun ini
TERKINI
2/16/20261 min read


VOGE memperkenalkan jagoannya dalam segmen skuter bergaya 'Adventure' ketika pameran EICMA tahun lalu, Voge SR450X (2026) dan seperti dijangka, ia pantas mencuri perhatian termasuk di pasaran Malaysia,
Berdasarkan maklumat yang diperoleh, pihak pengedar eksklusif Voge di Malaysia enggan menunggu lama untuk membawa skuter berkenaan ke pasaran tempatan dan menariknya, seawal tahun ini.
Bukan saja tampil dengan rekaan yang menarik, apa yang membuatkan Voge SR450X lebih 'memikat' adalah unit rangkaian kuasanya.
Tidak seperti kebanyakan pencabar dalam segmen sama, Voge SR450X dipacu oleh enjin bersesaran 398 cc, 2 Silinder, Penyejukan Cecair, Suntikan Bahan Api dengan transmisi automatik.
Kuasa yang dihamburkan adalah sebesar 41.85 Hp pada 8,000 rpm serta tork 44 Nm pada 5,750 rpm.
Apa yang menarik, konfigurasi dua silinder ini memberikan kelebihan ketara dari segi kelancaran penghantaran kuasa, menjadikannya responsif ketika mengharungi kesesakan trafik di ibu kota, namun tetap bertenaga untuk pemanduan santai atau 'touring' di lebuh raya pada hujung minggu.
Reka Bentuk Lasak dan Praktikal
Dari sudut estetika, SR450X tampil dengan reka bentuk berinspirasikan model 'enduro' yang agresif. Ia dilengkapi rim lidi tanpa tiub bersaiz 17 inci di hadapan dan 14 inci di belakang.
Penggunaan tayar 'semi-knobby' turut mengesahkan kemampuannya untuk melayan laluan 'off-road' ringan dan menambahkan lagi ciri kembara, jentera ini didatangkan standard dengan pelindung bar besi.
Suspensi menggunakan fork depan jenis terbalik (USD) dan penyerap hentak kembar KYB (belakang) dengan ciri boleh laras.
Sistem brek menggunakan cakera tunggal (depan/belakang) dengan kaliper J.Juan yang lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dan turut dilengkapi Kawalan Cengkaman (TCS).
Sebagai pelengkap kepada gaya hidup moden, Voge SR450X juga sarat dengan ciri teknologi terkini antaranya penggunaan sistem kunci pintar, cermin penghadang angin elektrik, pemanas pelana, pemanas genggaman dan kamera papan pemuka (depan/belakang) secara standard.
Dan turut menarik perhatian adalah ruang simpanan bawah pelana yang luas dan dikatakan mampu memuatkan dua topi keledar sekaligus.
Info lain:
Sistem lampu LED penuh
Tinggi pelana 795 mm
Jarak lega bumi 180 mm
Berat 220 kg





