VOGE SR450X Mula Dipasang 15 Okt, Edaran Hujung Bulan Ini!
Sebagai rekod, VOGE SR450X mula mencuri tumpuan dan menjadi bualan hangat selepas pendedahan rasminya pada acara Malaysia Bike Show 2026 di MAEPS, Serdang pada hujung Mei lalu, yang turut menyaksikan pembukaan tempahan serta pengumuman harga jualannya
TERKINI
10/15/20261 min read


SKUTER 'tular' yang kerap dijadikan model tunggang uji pada hampir setiap acara MForce Bike, Voge SR450X akhirnya mula memasuki barisan pemasangan pada hari ini (15 Oktober 2026).
Ketua Pegawai Operasi MForce Bike, Asri Ahmad berkata, skuter yang dikuasakan oleh enjin 2 Silinder sebaris bersesaran 400 cc itu akan mula diedarkan ke rangkaian pengedar sah di seluruh negara menjelang minggu keempat bulan ini.
"Berita baik untuk semua pelanggan yang sudah membuat tempahan menerusi pengedar di seluruh negara, MForce akan memulakan pengeluaran untuk model VOGE SR450X bermula 15 Oktober ini.
"Insya-Allah kita akan edarkan bermula minggu keempat bulan ini (Oktober). Oleh itu, kepada mereka yang sudah membuat tempahan, bolehlah berhubung dengan pengedar Mforce untuk mendapatkan status skuter masing-masing," kata Asri ketika majlis pembukaan MForce Smartshop Kepala Batas, baru-baru ini.
Sebagai rekod, VOGE SR450X mula mencuri tumpuan dan menjadi bualan hangat selepas pendedahan rasminya pada acara Malaysia Bike Show 2026 di MAEPS, Serdang pada hujung Mei lalu, yang turut menyaksikan pembukaan tempahan serta pengumuman harga jualannya.
Bagi menyemarakkan lagi keterujaan pelanggan, unit pandu uji model ini juga sudah disediakan pada beberapa majlis perasmian cawangan pengedar MForce di seluruh negara sejak beberapa bulan lalu.
Menjengah ke ruangan spesifikasi, VOGE SR450X bukan sekadar skuter gaya adventure biasa. Ia tampil premium dengan pelbagai kelengkapan canggih teknologi terkini termasuk paparan meter TFT berwarna penuh berserta fungsi sambungan telefon pintar, kamera perakam (dashcam) binaan dalam yang merakam aksi tunggangan, serta sistem pencahayaan LED sepenuhnya.
Dari aspek prestasi dan keselamatan, jentera yang menjanjikan tunggangan selesa untuk jarak jauh ini turut dilengkapi dengan kelengkapan kelas atasan seperti Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) dan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dwisaluran yang dipadankan dengan angkup brek jenama terkemuka, J.Juan.
Selain itu, skuter ini turut menampilkan pelindung angin (windshield) boleh laras, sistem kunci pintar, serta ruang simpanan bawah pelana yang luas, sekali gus mengukuhkan posisinya sebagai pencabar yang sangat kompetitif dalam segmen skuter maksi 400 cc di pasaran tempatan.

