VOGE SR450X Rasmi Masuk Kedai, RM 29,888!
Skuter 2 Silinder Sebaris, VOGE SR450X yang diumumkan kehadirannya di pasaran tempatan sempena MForce MotoXperience 2026 pada Mei lalu ditawarkan dalam 3 pilihan warna iaitu Alpine Green, Cosmic Blue dan Onyx Black
TERKINI
11/11/20262 min read


SKUTER yang berjaya mencipta sensasi berikutan spesifikasi enjin dan rekaannya yang menarik bukan saja di Malaysia, malah global, VOGE SR450X diumumkan secara rasmi sudah berada di cawangan pengedar MForce Bike.
Kepada yang tak tahu, VOGE SR450X yang diumumkan kehadirannya di pasaran tempatan sempena MForce MotoXperience 2026 pada Mei lalu diberikan tanda harga menarik, RM 29,888 tidak termasuk cukai jalan dan insurans.
Ditawarkan dalam 3 pilihan warna iaitu Alpine Green, Cosmic Blue dan Onyx Black, VOGE SR450X muncul sebagai skuter kembara pertama dalam segmennya yang menggunakan enjin bersesaran 398 cc, 2 Silinder Sebaris 4 Lejang, 8 Injap, Penyejuk Cecair, Fi dengan transmisi auto dengan pacuan tali sawat.
Enjin dengan ukuran piston dan lejang 84 × 72 mm serta nisbah mampatan 11:1 itu berupaya menjana kuasa maksimum 41.5 Hp pada 8,000 rpm dan tork maksimum 42 Nm pada 5,750 rpm.
Dari sudut teknologi dan praktikaliti, VOGE SR450X turut memiliki 2 mod tunggangan (Normal dan Sport), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) yang boleh dinyahaktifkan, Sistem Pengesanan Titik Buta dan sistem kamera papan pemuka hadapan dan belakang.
Segala tetapan elektronik boleh diakses menerusi panel meter TFT berwarna 7 inci yang menyokong navigasi menerusi aplikasi Carbit Ride serta sambungan Bluetooth.
Selain itu, ia turut memiliki sistem tanpa kunci, TPMS, port pengecas USB Type-A dan Type-C, visor angin boleh laras bermotor, tuil brek parkir, cangkuk utiliti serta ruang simpanan hadapan dan bawah tempat duduk dengan pembukaan hidraulik.
Untuk keselesaan dan tunggangan lasak, ia turut dilengkapi pemanas grip3 tahap, pemanas pelana, pelindung tangan, lampu kabus, pelapik kaki anti-gelincir gaya off-road, bar pelindung dan suis keselamatan tongkat sisi.
Aspek pengendalian, VOGE SR450X dipadankan dengan suspensi fork teleskopik jenis terbalik (USB) KYB 37 milimeter (mm) boleh laras sepenuhnya dengan jarak pergerakan 122 mm (depan) dan penyerap hentak berkembar jenama KYB dengan pelarasan prabeban serta redaman.
Sistem brek menggunakan cakera tunggal terapung 300 mm dengan angkup 4 piston J.JUAN (depan) dan cakera tunggal 240 mm dengan angkup empat piston NISSIN lengkap dengan ABS 2 saluran dengan ciri boleh dinyahaktifkan.
Info lain:
Lampu LED penuh
Set roda 110/70-17 (depan), 150/70-17 (belakang) dengan rim jejari
Tinggi pelana 795 mm
Lega bumi 180 mm
Berat 220 kg
Tangki bahan api 18 liter
Setiap pembelian VOGE SR450X disertakan waranti selama dua tahun atau sehingga 20,000 kilometer (km) yang mana terdahulu, dengan komponen enjin kekal dilindungi waranti perbatuan tanpa had bagi baki tempoh 2 tahun sekiranya melebihi had.



