VR46 Bakal Dapat Ducati GP25 'Sebenar' Di Sepang
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
1/27/20251 min read


DUCATI menguji jentera terbaharunya Ducati Desmosedici GP25 ketika ujian post-musim di Barcelona, November lalu tetapi ia tidak berlaku kepada pasukan satelit rasmi baharunya, VR46 Ducati.
Pengarah pasukan VR46 Ducati, Alessio ‘Uccio’ Salucci berkata pasukannya tidak menguji jentera berkenaan di Barcelona kerana pelumbanya, Fabio di Giannantonio sedang menjalani proses pemulihan ketika itu.
Dan tugas itu diambil oleh pelumba ujian Ducati, Michele Pirro dan bagi Uccio, jentera yang diuji itu bukan GP25 'sebenar' dan 'jauh' daripada versi terakhir yang akan digunakan pada musim ini.
"Sejujurnya mengenai jentera 2025, kami tidak tahu (perbezaan)," kata Salucci.
"Diggia cedera jadi kami mencuba jentera di Barcelona dengan Pirro. Tetapi kami masih belum menguji jentera 2025 sebenar. Kami mencuba beberapa komponen daripada jentera 2024 dan beberapa lagi dari 2025.
"Jentera sebenar akan tiba di Sepang pada 5 Februari.
"Jadi bagi kami, sukar untuk memahaminya ketika ini mengenai perbezaan di antara 2024 dan 2025 juga kerana Gigi Dall’Igna masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai jentera 2025.
"Apabila kami tiba di Sepang, saya dan Pablo (Nieto- Pengurus pasukan) akan mengadakan mesyuarat dengannya dan ia akan menjadi kali pertama kami memperoleh kefahaman mengenai perbezaannya."
Salucci yang pasukannya bergelut dengan jentera Ducati GP23 musim lalu begitupun yakin yang GP25 lebih baik daripada versi terdahulu.
"Tetapi saya fikir jentera itu mungkin tidak banyak berubah daripada jentera 2024.
"Tetapi masalah mengenai jentera 2023 adalah mereka (Ducati) melakukan banyak perubahan bagi jentera 2024, dan tayar mengalami perubahan paling besar.
"Michelin tiba sebagai tayar pengeluar baharu pada tahun lalu dan tayar belakang memiliki lebih banyak sokongan, lebih cengkaman. Dan jentera kami (GP23) tidak boleh mengambil selekoh, kerana bahagian belajang jentera memberikan tekanan yang banyak kepada bahagian depan.
"Jadi saya tidak tahu perbezaan daripada 2024 ke 2025 setakat ini, tetapi saya fikir ia akan amat serupa."
Ketika ujian di Barcelona, jentera Ducati GP24 mencatat masa terpantas menerusi pelumba Gresini Ducati, Alex Marquez dengan dua pelumba Ducati Lenovo, Francesco Bagnaia dan Marc Marquez di kedudukan ketiga dan keempat terpantas.
