VR46 Cuba 'Culik' Pedro Acosta?

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

1/20/20251 min read

PEDRO Acosta dikhabarkan sedang cuba 'dipancing' pasukan milik legenda MotoGP, Valentino Rossi VR46 Ducati.

Perkembangan menarik itu timbul apabila 'Rookie' tunggal MotoGP musim lalu itu menjadi antara pelumba berprofil tinggi beraksi di perlumbaan '100km of Champions' anjuran Rossi di Tavullia, Itali, baru-baru ini.

Sekalipun ini bukan kali pertama Acosta ke Tavullia, tetapi laporan media di Itali melaporkan beberapa perbincangan berlaku termasuk membabitkan 'perpindahan'.

"Lebih daripada sekadar pelumbaan, Pedro dan Valentino nampak lebih berminat untuk bercakap berdua mengenai perancangan selepas ini," lapor Gazzetta.

"Juara dunia 9 kali daripada Pesaro ini mempunyai idea yang jelas, dan ia dikatakan dia sudah merancang 'penculikan': Membawa Acosta ke VR46. Bila? Secepat yang mungkin. Kita akan lihat."

Acosta menyinar pada penampilan pertamanya di MotoGP musim lalu yang menyaksikannya 'naik pangkat' ke pasukan 'kilang' KTM bagi kempen 2025.

Juara dunia Moto2 2023 itu akan bergandingan dengan pelumba Afrika Selatan, Brad Binder tahun ini tetapi segala-galanya tidak begitu positif pada musim ini selepas masalah kewangan yang dihadapi KTM terdedah.

KTM menegaskan yang tiada kebimbangan membabitkan program perlumbaan pengeluar itu tetapi Acosta pastinya berminat jika legenda MotoGP itu dapat menawarkan sesuatu yang menarik.

VR46 menjadi pasukan satelit rasmi kepada Ducati pada musim ini susulan perpindahan Pramac ke Yamaha tetapi pada musim pertamanya, mereka hanya menerima satu jentera spesifikasi terkini.