VR46 'Dah Tolak' Tawaran Yamaha?

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

4/11/20241 min read

VR46, pasukan milik legenda MotoGP Valentino Rossi dilaporkan 'Sudah menolak' tawaran Yamaha untuk menjadi pasukan satelit pengeluar Jepun itu.

Perkembangan itu dilaporkan SkySports.it, yang menyaksikan pasukan itu makin kuat dikaitkan dengan Ducati dan berpotensi mengambil alih status pasukan satelit 'rasmi' yang ketika ini dipegang Pramac Racing.

Kontrak Pramac, seperti VR46 bersama Ducati dijadual berakhir pada penghujung musim 2024.

Sebelum ini, VR46 kuat dikaitkan dengan Yamaha berikutan 'hubungan' Rossi dengan pengeluar itu sebagai Duta Global.

Tetapi berdasarkan informasi yang diperoleh, Pramac yang mencipta kejayaan musim lalu bersama Jorge Martin turut berada dalam senarai Yamaha.

Dan Sky Sports.it percaya Pramac memiliki dua pilihan ketika ini.

Pilihan pertama adalah terus kekal bersama Ducati untuk dua lagi musim termasuk mengekalkan jentera berstatus 'factory' namun turut bersedia dengan kemungkinan kontrak tidak disambung selepas musim 2027.

Pilihan kedua adalah bertukar kepada Yamaha pada 2025, yang memberikan kestabilan jangka panjang dengan tambahan insentif kewangan daripada pengeluar Jepun itu yang baru-baru ini memperoleh suntikan semangat menerusi lanjutan kontrak Fabio Quartararo.

Pramac juga dikatakan mempunyai kira-kira sebulan setengah untuk memutuskan mengenai pilihan lanjutan kontrak dengan Ducati.

Selain Pramac dan VR46, LCR Honda - pasukan yang memiliki hubungan panjang dengan Honda - turut dikaitkan dengan perubahan pengeluar selepas kontraknya berakhir musim ini.