VR46 Ducati Bertemakan 'Black & Light' Musim 2026
Pasukan VR46 Ducati yang mendapat tajaan syarikat gergasi petroleum Indonesia itu masih mengekalkan identiti kuning fluoresen ikonik milik Rossi, namun buat pertama kali meninggalkan warna putih yang digunakan sejak dua musim lalu
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
1/14/20261 min read


VR46 Ducati muncul pasukan Ducati pertama memperkenalkan rekaan liveri baharu yang digelar 'Black & Light' bagi menghadapi kempen MotoGP 2026 dengan pelancaran berlangsung unik di Rom, Itali.
Pasukan milik legenda MotoGP Itali itu, Valentino Rossi mengekalkan dua pelumbanya, Fabio di Giannantonio dan Franco Morbidelli.
Tampil dengan tema 'Black & Light', pasukan yang mendapat tajaan syarikat gergasi petroleum Indonesia itu masih mengekalkan identiti kuning fluoresen ikonik milik Rossi, namun buat pertama kali meninggalkan latar putih yang digunakan sejak dua musim lalu.
"Ini musim ketiga kami gunakan banyak warna kuning, warna kami. Dua tahun lalu kami gabungkan dengan putih, tetapi kali ini kami mahu sesuatu yang lebih agresif,” kata Rossi sambil berseloroh bahawa para mekanik akan lebih gembira kerana tidak lagi perlu meluangkan masa membersihkan latar putih.
VR46 Dicati kini memasuki musim kelima dalam kelas perdana, dan musim kedua dengan sokongan penuh Ducati Corse sejak Pramac berpindah ke Yamaha.
Tetapi meskipun menggunakan jentera Desmosedici terkini, kedua-dua pelumba VR46 Ducati menjadi satu-satunya wakil Ducati yang gagal meraih kemenangan tahun lalu.
Begitupun, Di Giannantonio tetap menyerlah apabila menamatkan musim di kedudukan keenam keseluruhan – pencapaian terbaik kariernya – dengan empat podium perlumbaan utama dan lima kedudukan tiga teratas dalam perlumbaan Sprint.
Morbidelli pula, bekas naib juara dunia bersama Petronas Yamaha SRT, mengutip empat podium pada musim debutnya bersama VR46 Ducati, meskipun diganggu kecederaan di Sachsenring dan Valencia.
Untuk musim 2026, Di Giannantonio sekali lagi akan menggunakan jentera Ducati spesifikasi kilang, manakala Morbidelli kekal dengan jentera setahun lebih lama.

