VR46 Ducati Hilang Khidmat Fabio di Giannantonio Di Malaysia, Valencia

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

10/17/20241 min read

PASUKAN milik legenda MotoGP, Valentino Rossi, VR46 Ducati mengumumkan pelumbanya, Fabio di Giannantonio akan menutup kempennya musim ini lebih awal sejurus Grand Prix (GP) Thailand minggu depan selesai.

Menurut pasukan itu, pelumba Itali itu dijadual untuk menjalani pembedahan di bahagian bahu kirinya yang terjejas susulan kecederaan.

Keputusan itu bermakna Giannantonio tidak akan beraksi dalam dua pusingan terakhir MotoGP iaitu di GP Malaysia dan GP Valencia.

Giannantonio sebelum ini mengalami kecederaan di bahagian bahu pada pertengahan Ogos lalu ketika GP Austria dan untuk mendapat pemulihan secara 100 peratus, pembedahan diperlukan.

Begitupun, pelumba itu masih terbang ke Australia bagi menghadapi perlumbaan di Phillip Island minggu ini sebelum perkembangan mengenai pembedahannya diumumkan.

"Sebagai pasukan, saya amat kecewa untuk memberikan berita ini kerana saya tahu betapa banyaknya usaha yang Fabio curahkan sejak beberapa bulan lalu selepas kemalangan itu," kata Pengarah Pasukan VR46, Alessio Salucci.

"Ia tidak mudah, tetapi dia sentiasa akan memberikan yang terbaik.

"Keputusan itu bukan pilihan, dia boleh terus berlumba sehingga Valencia, tetapi ia bermakna kami perlu menangguhkan pembedahan sehingga penghujung November.

"Tidak akan ada masa yang mencukupi untuk mengoptimumkan pemulihan dan rehat dan ini sudah tentu menjejaskan keadaan fizikalnya bagi permulaan musim depan," katanya.

Di Giannantonio berkata: "Saya mahu berlumba sehingga Valencia, menutup musim ini dengan sebaiknya bersama pasukan dan kemudian mengambil semua masa yang diperlukan untuk pembedahan, pemulihan dan rehat.

"Malangnya, jadual perlumbaan amat rapat, rehat musim sejuk amat pendek dan kami tidak boleh mengambil risiko tidak berada dalam keadaan fizikal terbaik bagi permulaan 2025.

Dengan jadual pembedahan itu, Di Giannantonio dijangka akan pulih sepenuhnya bagi menghadapi ujian pra-musim di Malaysia yang dijadual berlangsung pada 5 hingga 7 Februari depan.