VR46 Ducati Sahkan Fabio di Giannantonio Terlepas Ujian Di Buriram
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
2/10/20251 min read


PASUKAN VR46 Ducati mengesahkan pelumbanya, Fabio di Giannantonio tidak akan menyertai ujian pra-musim MotoGP di Buriram, Thailand yang dijadual pada minggu ini.
Pelumba kelahiran Itali, Di Giannantonio mengalami kecederaan patah tulang selangka selepas berdepan kemalangan 'pelik' pada hari pertama ujian pra-musim di Sepang, minggu lalu.
Susulan kecederaan yang dihadapi, Di Giannantonio menamatkan ujiannya dan pulang awal ke Itali untuk menjalani pembedahan dan selepas beberapa hari, VR46 Ducati mengumumkan yang operasi yang dijalankan berjaya.
"Sejurus kemalangan, Fabio dihantar pulang ke Itali dan dia mendapatkan rawatan di hsopital swasta Villa Stuart di mana pasukan pembedahan yang diketuai Professor Alessandro Castagna menjalankan pembedahan untuk merawat kecederaannya pada pagi Ahad.
"Pembedahan itu berjaya dan pelumba kami akan mula proses pemulihan dengan serta merta.
"Sasarannya adalah untuk tiba pada perlumbaan pertama pada musim ini di Thailand (28 Februari - 2 Mac) dengan keadaan fizikal sebaik yang mungkin."
Di Giannantonio berdepan kemalangan itu di Sepang ketika melakukan 'wheelie'. Dia menjadi salah seorang daripada tiga pelumba yang akan menunggang jentera Ducati GP25 selain Francesco Bagnaia dan Marc Marquez.
