VR46 Ducati Sahkan Tarikh Dedah 'Liveri' Baharu Pertamina Enduro VR46 Ducati

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

1/12/20241 min read

PASUKAN satelit MotoGP milik legenda Itali, Valentino Rossi, VR46 Ducati mengesahkan tarikh pelancaran jentera dan 'Liveri' musim 2024 pasukan itu dijadual berlangsung pada 24 Januari depan.

Apa yang menarik, VR46 Ducati akan mendapat penaja utama baharu bagi menggantikan Mooney bagi musim depan iaitu syarikat petroleum gergasi negara jiran, Pertamina.

Dan seperti maklumat yang diperoleh daripada Pertamina kepada media di Indonesia, baru-baru ini, tarikh pelancaran pasukan dan 'Liveri' baharu pasukan itu akan berlangsung pada 24 Januari di Itali.

Bagi VR46, ini adalah musim ketiga pasukan itu dalam kempen elit MotoGP.

Pasukan yang menggunakan jentera Ducati itu merangkul kemenangan pertamanya di MotoGP di GP Argentina musim lalu bersama pelumba muda Itali, Marco Bezzecchi.

Tetapi ketika Bezzecchi memilih untuk kekal sekalipun mendapat peluang menyertai pasukan satelit Ducati yang menggunakan jentera 'Factory' Pramac Racing, seorang lagi pelumba pasukan itu Luca Marini memililih untuk angkat kaki.

Adik kepada Rossi itu membuat keputusan untuk menyertai pasukan 'Factory' Repsol Honda dan tempatnya digantikan oleh Fabio di Giannantonio.

Pengesahan pelancaran itu turut menyaksikan ia minggu yang cukup sibuk untuk MotoGP dengan pasukan Gresini Ducati dijadual memperkenalkan 'Liveri' baru pada 20 Januari, Ducati Lenovo (22 Januari) dan Trackhouse Aprilia (26 Januari).

Memiliki kontrak pengeluar bersama Ducati sehingga penghujung musim ini, VR46 ketika ini kuat dikaitkan dengan khabar angin perpindahan ke Yamaha, pengeluar yang membawa Rossi menjulang empat daripada tujuh gelaran MotoGP miliknya.