GRADUAN pertama Akademi VR46, Franco Morbidelli mengesahkan tempatnya sebagai pelumba pasukan Pertamina Enduro VR46 Racing bagi kempen MotoGP pada musim 2025.
Perkembangan itu diumumkan oleh pasukan itu menerusi satu rakaman video unik yang menampilkan pelumba kelahiran Itali itu pulang ke markas pasukan milik legenda MotoGP, Valentino Rossi itu di Tavullia.
Pengesahan Morbidelli yang juga naib juara dunia MotoGP 2020 bersama pasukan Petronas Yamaha SRT itu menyaksikan dia tidak akan menyertai Pramac ke Yamaha.
"Cerita yang cukup cantik," kata Morbidelli. "Saya amat gembira untuk mengumumkan yang saya sudah menandatangani kontrak bersama pasukan VR46 Racing bagi musim 2025.
"Ia sudah pasti akan merasa seperti kembali ke rumah sendiri, saya benar-benar mahu melakukan yang terbaik dan membayarnya kembali dengan keputusan yang baik, kepercayaan ini daripada saya dan juga kesemua krew.
"Saya mahu mengimbas kembali beberapa tahun sebelum ini dan mendapatkan semula kegembiraan bersama mereka semua.
"Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada Akademi Pelumba VR46 dan juga kepada pasukan pengurusan saya. Vale, Carlo, Uccio, Albi dan Gianluca. Rakan-rakan tetapi juga kepada mereka yang juga insan penting dalam VR46.
"Saya tidak sabar untuk memulakan pengembaraan ini bersama-sama."
Memulakan karier MotoGP bersama Honda pada 2018 selepas menjulang gelaran dunia Moto2 pada 2017 bersama Marc VDS, Morbidelli menyertai Petronas Yamaha SRT pada 2019.
Pelumba berusia 29 tahun itu kemudian memenangi tiga perlumbaan pada musim 2020 yang menyaksikannya menamatkan kempen sebagai naib juara dunia di belakang Joan Mir.
Selepas beberapa episod pergelutan bersama Yamaha, Morbidelli menyertai Pramac Ducati musim ini namun dibelenggu masalah kecederaan dengan keputusan terbaiknya adalah ke-4 (Perlumbaan Sprint) dan ke-5 (MotoGP).
"Saya benar-benar gembira untuk mengesahkan yang Franco akan berlumba bersama pasukan Pertamina Enduro VR46 Racing pada musim 2025," kata Pengarah Pasukan VR46, Alessio Salucci.
"Franco adalah pelumba pertama yang menyertai Akademi Pelumba VR46, dan kami mengenalinya sudah lama, melihatnya bertambah baik di Tavullia dan hari ini, dengan kepuasan penuh, kami boleh berkata yang dia akan menyertai krew bermula musim depan.
"Dia adalah pelumba dengan bakat yang hebat, kami tidak sabar untuk menanti kehadirannya dan membiarkannya menyertai keluarga kami di sini dengan suasana yang membezakan kami.
"Dia akan terus berlumba menggunakan Ducati, Desmosedici GP24 dan kami yakin dia akan mampu untuk bersaing dengan kumpulan yang terbaik."