VR46 Nafi Khabar Angin Babit Pedro Acosta

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

1/29/20251 min read

BOS VR46 Ducati, Uccio Salucci menolak khabar angin yang pasukan itu sedang berusaha merekrut pelumba berbakat KTM, Pedro Acosta untuk menyertai mereka.

Pelumba Sepanyol, Acosta menandatangani kontrak selama beberapa tahun bersama pengeluar Austria itu dan akan berlumba sebagai pelumba pasukan 'kilang' Red Bull KTM pada musim ini.

Sentiasa bersama KTM sejak awal kariernya di Kejuaraan Motosikal Dunia, masalah kewangan meruncing yang dihadapi KTM mencetus spekulasi yang juara dunia Moto2 2023 itu sedang mencari jalan untuk menyertai pengeluar lain.

Salah satunya adalah menyertai pasukan satelit rasmi Ducati di MotoGP VR46 dan ia dikuatkan apabila Acosta menjadi salah seorang peserta di perlumbaan anjuran pemilik pasukan itu, Valentino Rossi '100Km of Champions' di Tavullia, Itali bulan ini.

Begitupun, Salucci yang juga Pengurus VR46 Ducati menjelaskan tiada perbincangan serius berlaku.

"Pertama sekali, saya meminta maaf mengenai laporan mengenai KTM, kerana kami mempunyai hubungan yang amat baik dengan KTM," kata Salucci memetik laporan Crash.net.

"Kami memulakan hubungan kami pada 2014 di Moto3, dengan (Stefan) Pierer dan (Pit) Pierer dan semua lembaga pengarah dan pengurusan KTM.

"Saya tidak menyukai berita ini, tetapi malangnya ia sudah berlaku.

"Dan keduanya, Acosta adalah pelumba yang menakjubkan.

"Mungkin kini dia adalah salah seorang bakat terbaik di MotoGP. Tetapi adalah terlalu awal untuk bercakap mengenainya dan sejujurnya saya tidak pernah bercakap dengan serius mengenai Acosta dalam pasukan kami."

Acosta sebelum ini sudah menyuarakan keyakinannya yang masalah dihadapi KTM tidak menganggu perancangan kariernya di MotoGP.