VR46 Rasmi Guna Jentera 'Kilang' Ducati GP25 Musim Depan

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

8/2/20242 min read

PASUKAN milik legenda MotoGP Itali, Valentino Rossi, VR46 diumumkan oleh Ducati Corse sebagai pasukan satelit 'rasmi' atau pasukan yang memperoleh sokongan 'kilang' di Borno Panigale bermula musim depan.

Pengumuman itu mengikuti informasi yang diperoleh sebelum ini dengan VR46 akan menggantikan tempat yang sebelum ini digalas oleh Pramac Racing.

Tiada perincian membabitkan kontrak yang ditandatangani namun menurut laporan, ia adalah perjanjian selama beberapa tahun dengan VR46 akan menerima sebuah jentera serba baharu Desmosedici GP25 dan GP24.

Selain itu, mereka akan turut menikmati sokongan penuh dari sudut teknikal daripada pengeluar motosikal premium itu.

Setakat ini, Vr46 masih belum mengumumkan secara rasmi barisan pelumbanya musim depan namun menariknya, Pengurus Ducati Lenovo, Davide Tardozzi begitupun 'terlepas kata' dan mendedahkan kepada stesyen televisyen mengenai perkara itu.

Selain mengekalkan Fabio di Giannantonio yang akan menunggang jenetra GP25, pasukan itu juga seperti dikatakan Tardozzi akan merekrut pelumba akademi VR46, Franco Morbidelli.

"Saya amat berbangga untuk mengumumkan yang bermula daripada tahun depan, VR46 Racing akan menjadi Pasukan Disokong Factory Ducati di MotoGP," kata Pengarah VR46 Racing, Alessio Salucci.

"Kami akan berada di litar dengan jentera rasmi dan GP24. Jika mereka berkata mengenai perkara ini beberapa tahun lalu, saya tidak akan mempercayainya.

"Ia betul-betul masa yang cukup bermakna untuk keseluruhan kumpulan, untuk mencapai keputusan ini hanya dalam tempoh tiga tahun, bersama pasukan yang muda, dan kami mempunyai ramai krew daripada Moto3, ia sesuatu yang menakjubkan.

"Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada kesemua orang yang bekerja bersama pasukan, Ducati dan Gigi Dall'Igna untuk mempercayai projek ini. Kami mempunyai tahun-tahun yang mencabar di depan kami, penuh dengan cabaran, tetapi kami tidak boleh menunggu untuk mencabar diri kami dan cuba mendapatkan keputusan yang bercita-cita tinggi."

Pengarah Urusan Ducati Corse, Dall’Igna berkata VR46bRacing sudah menunjukkan kemampuan mereka dengan cukup harmoni sejak hari pertama pasukan itu menyertai Ducati.

"Dalam tempoh beberapa tahun ini, kami mencapai keputusan yang penting bersama-sama," kata Dall’Igna. "Kami gembira dan lebih daripada itu dapat mengeratkan hubungan kami, dan menyediakan pasukan berpangkalan di Pesaro dengan sokongan 'kilang' penuh bermula musim depan.

"Saya yakin dengan bersama-sama kami boleh mencapai sasaran yang amat bermakna! Sekali lagi, saya mahu mengucapkan terima kasih kepada Valentino, Uccio, Pablo dan semua orang dalam pasukan yang bekerja dengan semangat yang hebat dan dedikasi."