VR46 Tak Pernah Hilang Kepercayaan Terhadap Franco Morbidelli

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

3/20/20252 min read

KEJAYAAN Franco Morbidelli menaiki podium di Grand Prix (GP) Argentina 2025 menjadi sesuatu yang emosional buat pasukannya VR46 Ducati.

Seperti diketahui, Morbidelli adalah pelumba pertama VR46 Riders Academy milik legenda MotoGP Itali yang berlumba di pentas tertinggi itu.

Pernah bergelar naib juara dunia MotoGP pada musim 2020 ketika bersama pasukan PETORNAS Yamaha SRT, pelumba kelahiran Itali itu tidak pernah berlumba bersama pasukan mentornya itu sehingga dia dipilih menggantikan Marco Bezzecchi musim ini.

Sekalipun konsisten berada di kedudukan enam terbaik ketika bersama Pramac Ducati musim lalu, Morbidelli tidak pernah meraih kejayaan di podium yang kali terakhir dirasai pada 2021 yang menyaksikan kehadirannya di VR46 Ducati dipersoal.

Tetapi bagi Pengarah VR46 Ducati, Alessio ‘Uccio’ Salucci, dia mengakui yang pasukan itu tidak pernah hilang kepercayaan kepada Morbidelli.

"Saya amat gembira untuk Franky kerana pada musim lalu kami tidak begitu bagus untuknya," kata Salucci kepada TNT Sports. "Apabila kami memutuskan untuk mengambil Franky kami berfikir sebentar dan berkata ya kerana bagi kami Morbidelli adalah pelumba yang amat bagus.

"Lelaki yang amat bagus. Kami mahu meletakkan Franky kembali ke puncak.

"Hari ini (pagi Isnin) adalah hari yang istimewa buat saya, pasukan kami, VR46, dan juga untuknya. Ia bukan minggu yang mudah, semalam, dia juga tidak seihat, tetapi dia menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dan bagi saya, bukan sesuatu yang mustahil untuk dia mendapat musim yang bagus.

"Franco sudah seperti keluarga di sini dan saya amat gembira. Saya juga sedikit emosional kerana saya bermimpikan hari ini sejak enam bulan lalu.

"Feraco sudah bersama kami di VR46 Academy sejak 2014 tetapi dia tidak pernah berlumba bersama pasukan kami. Saya masih ingat di Moto2, dia mempunyai kontrak dengan Marc VDS,. Dia MotoGP dia mempunyai kontrak dengan Yamaha. Sentiasa ada masalah kecil.

"Bagusnya pada tahun lalu dia bebas kerana sejak tiga tahun lalu keputusan tidak begitu baik. Dan saya berkata 'Vale (Valentino Rossi), saya mahu Morbidelli kerana saya mempercayainya dan sudah tentu dia akan kembali ke podium. Dan ia benar.

Setakat ini, Morbidelli menjadi satu-satunya pelumba Ducati yang tidak mempunyai kontrak pada musim 2026 dengan kejayaan podium di Termas de rio Hondo boleh menjadi jawapan balas kepada khabar angin yang tempatnya menjadi buruan Pedro Acosta.