WMOTO Bobbie VII (2025), Versi 'Sidecar' Dah Dapat VTA, 48,888!
Satu lagi penawaran unik daripada pihak MForce Bike susulan VTA yang diperoleh untuk model kruiser unik WMoto Bobbie VII (2025) yang lengkap dengan 'sidercar'
TERKINI
7/21/20251 min read


MENGIKUTI pelancaran model standardnya pada dua tahun lalu, MForce Bike semalam mengumumkan motosikal bergaya kruiser unik, WMoto Bobbie VII (2025) yang lengkap dengan 'sidecar' sudah pun memperoleh VTA.
Sebagai info, VTA ialah singkatan bagi Vehicle Type Approval atau Kelulusan Jenis Kenderaan di Malaysia.
Ia adalah proses rasmi yang dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia untuk memastikan setiap model kenderaan baru memenuhi piawaian keselamatan, teknikal dan peraturan jalan raya sebelum dibenarkan didaftarkan dan digunakan di jalan awam.
Dan harga jualan yang diumumkan adalah RM 48,888 (asas). Tetapi kepada 100 pembeli terawal, MForce turut mengumumkan harga istimewa RM 46,888 (Tidak termasuk yuran pendaftaran, cukai jalan, insuran).
Dua pilihan warna ditawarkan terhadap WMoto Bobbie VII (2025) iaitu:
Matte Black
Metallic Black
Menurut MForce, tiada perubahan spesifikasi trenkuasa daripada model WMoto Bobbie VII yang dilancarkan dua tahun lalu.
Justeru, ia kekal dengan enjin bersesaran 693 cc, 2 Silinder, 4 Lejang, Suntikan Bahan Api, Penyejuk Cecair yang digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.
Kuasa yang dihasilkan adalah 74 Hp pada 8,500 rpm dan tork 64 Nm pada 6,500 rpm.
Sistem suspensi menggunakan fork teleskopik konvensional (depan) dan penyerap hentak tunggal (belakang) manaklaa sistem brek menggunakan cakera tunggal depan dan belakang yang lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran.
Ciri-ciri menarik adalah seperti pengunaan panel meter digital penuh LCD, lampu depan jenis LED yang terang, kapasiti tangki bahan api 15 liter dan turut tersedia adalah pengecas USB yang diposisikan di bahagian kiri frame motosikal untuk memudahkan akses ke bahagian panel meter.
Turut menarik adalah material pelana yang diperbuat daripada bahan berkualiti tinggi dan boleh laras mengikut penunggang.
Informasi penting lain adalah seperti berikut:
Set roda 120/80-17 (depan) dan 150/80-16 (belakang)
Berat 211 kg
Setiap pembelian WMoto Bobbie VII (2025) akan menikmati jaminan pengeluar selama dua tahun atau jarak perjalanan 20,000 km (yang mana tiba dahulu) dan perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian oleh MForce Bike Holdings Sdn. Bhd.
Kepada yang berminat, WMoto Bobbie VII (2025) lengkap 'sidecar' ini sudah boleh didapati di mana-mana pengedar sah MForce Bike seluruh Malaysia.














