WMOTO Malaysia Tayang Imej Siluet Kruiser Baharu, Bobbie 450 Lancar Minggu Ini?

Spekulasi pelancaran Bobbie 450 mula hangat diperkatakan susulan hantaran rasmi di media sosial WMoto yang memaparkan siluet dua model berbeza, dipercayai mewakili sebuah skuter dan sebuah motosikal berkarakter retro

TERKINI

10/17/20251 min read

SELEPAS melancarkan dua model baharu pada hujung bulan lalu, WMoto Malaysia dijangka terus agresif apabila bakal melancarkan dua lagi penawaran untuk pasaran tempatan dan selain model skuter, turut bakal dilancarkan adalah sebuah model skuter dikenali WMoto Bobbie 450.

Spekulasi itu mula hangat diperkatakan susulan hantaran rasmi di media sosial WMoto yang memaparkan siluet dua model berbeza, dipercayai mewakili sebuah skuter dan sebuah motosikal berkarakter retro.

Berdasarkan maklumat awal, model kruiser berkenaan dipercayai ialah WMoto Bobbie 450 – sebuah model bersesaran 450 cc bagi mengisi kekosongan dalam segmen pertengahan.

Mengulas sudut trenkuasa, WMoto Bobbie 450 dipacu enjin 450 cc, 2 Silinder, Penyejuk Cecair dengan kuasa dijangka sekitar 40 Hp dan tork 35 Nm.

Daripada angka ini, ia cukup untuk menyokong tunggangan jarak jauh yang selesa, dengan karakter pemanduan santai dan stabil yang sinonim dengan gaya kruiser.

'Lahir' di China, WMoto Bobbie 450 tampil dengan rekaan klasik moden yang menggabungkan elemen retro seperti tangki berbentuk ‘teardrop’, pelana rendah, serta sistem ekzos berkembar, namun dipadankan dengan teknologi semasa seperti sistem suntikan bahan api dan paparan digital.

Model ini juga dipercayai berkongsi DNA dengan Bobbie VII – model 693 cc yang pernah dilancarkan di Malaysia dalam versi sidecar pada Julai lalu.

Sebagai info, WMoto Bobbie VII adalah motosikal tiga roda pertama yang dijual secara rasmi di negara ini dan mendapat kelulusan JPJ.