WMOTO Nexy+ 180 (2026) Yang Dinaiktaraf Buat Kemunculan Di Johor, RM 9,288!

Antara penambahbaikan yang ditawarkan kepada WMoto Nexy+ 180 (2026) ialah sistem Tyre Pressure Monitoring System (TPMS) yang membolehkan tekanan angin tayar dipantau secara masa nyata menerusi penel meter

TERKINI

8/1/20262 min read

MENGIKUTI pelancarannya pada penghujung tahun lalu, WMoto Malaysia tampil memperkenalkan versi naik taraf skuter bergaya futuristiknya, WMoto Nexy+ 180 (2026) yang hadir dengan beberapa penambahbaikan.

Tetapi bersama naik taraf, angka harga yang diumumkan turut mengalami sedikit perubahan iaitu RM 9,288 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans).

Pilihan warna yang ditawarkan adalah 4 iaitu:

  • Xtreme White

  • Magic Blue

  • Nardo Grey

  • Mildnight Black

Antara penambahbaikan yang ditawarkan kepada WMoto Nexy+ 180 (2026) ialah sistem Tyre Pressure Monitoring System (TPMS) yang membolehkan tekanan angin tayar dipantau secara masa nyata menerusi penel meter.

Selain itu, WMoto Nexy+ 180 (2026) turut menambah lampu kabus selain beberapa perincian kecil tetapi menarik antaranya 'Welcome light' yang memaparkan logo NEXY+ di panel meter selain 'projection light' yang memancarkan logo NEXY+ ke permukaan jalan setiap kali suis dihidupkan atau dimatikan.

Dari sudut keselesaan, pelana WMoto Nexy+ 180 (2026) untuk penunggang kini tampil dengan 'backrest' yang katanya memberikan sokongan tambahan dan keselesaan kepada bahagian belakang terutama ketika perjalanan jauh.

Tiada perubahan dari sudut rekaan dan trenkuasa dengan WMoto Nexy+ 180 kekal dipadankan dengan enjin 174 cc, 1 Silinder, Penyejuk Cecair, Fi, SOHC bersama transmisi auto CVT.

Kuasa yang dihamburkan adalah 18.4 Hp pada 8,500 rpm dan tork 17.2 Nm pada 6,500 rpm.

Ruang simpanan bawah tempat duduk yang luas masih dikekalkan, selain ruang simpanan hadapan dengan penutup magnetik.

Ciri-ciri moden yang dipadankan kepada skuter ini adalah seperti sistem kunci pintar (Smart Key), panel meter TFT berwarna bersaiz 6 inci dengan sambungan ke telefon pintar menerusi aplikasi Carbit Ride, port pengecas USB Type-A dan Type-C.

Selain itu, sistem lampu menggunakan LED sepenuhnya termasuk lampu depan projektor LED, lampu siang (DRL), kamera 'dashcam' (depan), ruang simpanan bawah pelana dan ruang simpanan depan dengan penutup magnetik.

Sistem suspensi menggunakan fork teleskopik (konvensional) untuk roda depan dan penyerap hentak berkembar (belakang) yang dipadankan dengan set roda 110/70-14 (depan) 130/70-13 (belakang).

Tugas menghentikan skuter ini pula dijana brek cakera tunggal 260 mm dengan kaliper 4 Piston )(depan) dan cakera tunggal 220 mm dengan kaliper 1 Piston (belakang) lengkap dengan Sistem Brek Anti Kunci (ABS) 2 Saluran.

Setiap pembelian WMoto Nexy+ 180 (2026) hadir dengan jaminan pengeluar selama dua tahun atau jarak perjalanan 20,000 km (yang mana tiba dahulu), serta kemudahan pembelian alat ganti tulen secara dalam talian MForce Bike.