WMOTO Nexy+180i Bakal Gegar Pasaran Skuter Tempatan?
Rekaan moden, futuristik dan sporty jelas menjadi daya tarikan dan kekuatan kepada skuter Nexy+180i ini dan ia bukan saja di pasaran Malaysia, malah di pasaran luar negara
TERKINI
10/13/20251 min read


PASARAN skuter tempatan bakal menerima satu lagi kemasukan model baharu apabila pihak WMoto dikatakan bakal memperkenalkan WMoto Nexy+180i, skuter yang tampil dengan rekaan menarik dan futuristik dan dijangka mampu memberi cabaran dalam segmennya.
Meskipun menggunakan label WMoto di pasaran tempatan, ia sebenarnya dikenali sebagai Taige Nexy 180 di pasaran China.
Begitupun, disebabkan Taige adalah anak syarikat kepada pengeluar motosikal terkemuka, Loncin, yang turut menjalin kerjasama strategik dengan MForce Bike Holdings Sdn Bhd yang juga pengedar rasmi jenama WMoto di Malaysia dan Indonesia, ia boleh dibawa masuk ke pasaran tempatan dengan label berbeza.
Sebagai rekod, Nexy+180i pertama kali dipertontonkan kepada umum semasa pameran China International Motorcycle Trade Exhibition (CIMA) pada tahun lalu.
Ia kemudian dilancarkan secara rasmi di China pada Februari lalu.
Sekalipun tiada kenyataan rasmi daripada pihak MForce, tetapi rangkaian pengedar syarikat itu ketika ini cukup giat mempromosikan model berkenaan.
Malah ada beberapa pengedar yang turut mendedahkan tanda harga andaian untuk Nexy+180i yang berada pada angka RM 8,000 ke RM 10,000.
Dari sudut penampilan, rekaan moden dan sporty Nexy+180i jelas mencuri perhatian termasuk media automotif di negara jiran, Indonesia.
Malah, beberapa portal tempatan di sana melabelkan model ini sebagai ‘pemusnah’ kepada dua model popular daripada jenama negara 'J' iaitu NMax dan PCX.
Sementara itu, kemunculan Nexy+180i dilihat sebagai kesinambungan kepada momentum agresif WMoto dalam memperluaskan barisan produknya.
Pada hujung bulan lalu, syarikat itu turut melancarkan dua model baharu - WMoto EZ125i dan WMoto Kruiser AMT 125 - yang masing-masing menyasarkan segmen pengguna berbeza.








