WMOTO NX150S (2026) Rasmi Di Malaysia, 'Kacak', Padat Ciri Menarik, RM 6,688!
Antara 'kekuatan' WMoto NX150S selain penampilan adalah Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) 2 Saluran, Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) boleh nyah-aktif, Sistem Tanpa Kunci dan kapasiti tangki bahan api sebesar 15 liter
PELANCARAN
3/15/20261 min read


WMOTO Malaysia seperti enggan 'demam' persaingan membabitkan skuter di pasaran tempatan kebah apabila melancarkan penawaran terbaharunya yang boleh dianggap mengujakan, WMoto NX150S (2026) yang tampil dengan sarat dengan ciri-ciri menarik dan harga cukup kompetitif.
Diumumkan pada harga asas RM 6,688 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans), skuter yang turut tampil dengan rekaan yang boleh dikatakan 'hensem' dan cukup berbaloi dalam segmennya ini datang dalam tiga pilihan warna iaitu:
Grind Green
Glacier Grey
Lava Brown
Seperti dinyatakan, WMoto NX150S dari sudut penampilan sememangnya cukup menarik dan tampak seperti sebuah skuter maxi dengan rekaan tajam serta sedikit lebar di bahagian belakang.
Dan antara ciri yang boleh 'mengangkat' WMoto NX150S lebih daripada pesaingnya dalam segmen serupa sekali pun hanya dipadankan dengan enjin bawah 150 cc adalah seperti ia memiliki Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) 2 Saluran, Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) boleh nyah-aktif, Sistem Tanpa Kunci dan kapasiti tangki bahan api sebesar 15 liter.
Dengan kapasiti bahan api sebesar itu, ia jelas memiliki kemampuan untuk melakukan aktiviti menjelajah atau tunggangan jarak jauh.
Di bahagian trenkuasa, WMoto NX150S dijana enjin 149.6 cc, 1 Silinder, 4 Lejang, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, bersama transmisi automatik CVT dengan kuasa berada pada angka 11.6 kW pada 8,500 rpm dan tork 14.7 Nm pada 6,500 rpm.
Suspensi menggunakan fork teleskopik (konvensinal) depan dan penyerap hentak (belakang) manakala brek pula menggunakan cakera depan dan belakang lengkap ABS2 Saluran.
Ciri-ciri menarik lain adalah seperti suis keselamatan tongkat sisi, tuil brek boleh laras, lampu LED penuh dan ruang simpanan bawah pelana 19 liter.
Info lain
Panel meter digital LCD
Port pengecasan USB jenis Type-A dan Type-C
Set roda 130/70-13 (depan/belakang)
Dimensi 1,954 mm (panjang), 780 mm (lebar), 1,162 mm (tinggi)
Jarak roda 1,363 mm
Tinggi pelana 758 mm
Lega bumi 90 mm
Berat 132 kg
Seperti biasa, setiap pembelian WMoto NX150S akan berpeluang menikmati jaminan pengeluar selama dua tahun atau jarak perjalanan 20,000 km (yang mana tiba dahulu) dan perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian oleh MForce Bike Holdings Sdn. Bhd.



















