WMOTO RT2 (2024) Kini Di Malaysia, Asas RM 16.9k!
PELANCARAN
1/5/20241 min read
WMOTO Malaysia membuat pengumuman 'mengejutkan', hari ini apabila melancarkan penawaran terbaharunya dalam segmen skuter suku liter ke pasaran tempatan dikenali sebagai WMoto RT2 (2024).
Sebanyak tiga warna pilihan diperkenalkan untuk WMoto RT2 (2024) iaitu Metallic Gold, Pure White dan Majestic Black.
Dan harga jualan yang diumumkan oleh syarikat yang bernaung di bawah syarikat MForce Bike Holdings Sdn Bhd itu adalah RM 16,888 (Asas) tidak termasuk insuran dan cukai jalan.
Mengulas rekaan, WMoto RT2 (2024) tampil dengan penampilan lebih agresif, dan 'Sporty' berbanding sebuah lagi skuter bersesaran 250 cc jenama itu WMoto RT3.
Menurut WMoto, menerusi serta reka bentuk yang lebih aerodinamik itu, ia membuatkan Wmoto RT2 (2024) sesuai untuk kegunaan harian mahupun pengembaraan.
Di bahagian trenkuasa, WMoto RT2 (2024) dipadankan dengan enjin bersesaran 246.9 cc, 1 Silinder, 4 Lejang, 4 Injap, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api bersama transmisi automatik.
Kuasa yang dihamburkan adalah 22.8 Hp pada 7,500 rpm dan tork 22.5 Nm pada 6,000 rpm.
MForce berkata, Wmoto RT2 (2023) memiliki ciri-ciri sebagai sebuah skuter ‘Adventure’ yang mampu untuk diginakan di laluan lasak serta dipadankan dengan pelbagai ciri-ciri dianggap premium.
Antara yang menarik dan mungkin boleh memberi keterujaan adalah:
Kamera papan pemuka (depan dan belakang)
Visor angin boleh laras
Sistem kunci pintar yang memiliki ciri menghidup dan mematikan enjin dan 'Alarm Key Findings'
Dua soket pengecas USB (Ruang simpanan pemuka dan bawah pelana)
Skrin meter digital TFT
Sistem Pengesan Tekanan Tayar (TPMS)
Sistem lampu LED penuh
Lampu LED di suis hendal
Di bahagian suspensi, WMoto RT2 (2024) dipadankan dengan fork jenis teleskopik (konvensional) depan dan penyerap hentak berkembar di bahagian belakang.
Sistem brek menggunakan cakera tunggal (depan dan belakang) lengkap dengan Sistem Brek Anti Kunci (ABS) dua saluran.
Informasi penting lain adalah seperti set roda 110/80-14 (depan) dan 140/60-13 (belakang), berat 183 kg, tangki bahan api 12.6 liter.
Kepada yang berminat, pihak MForce menyatakan WMoto RT2 (2024) sudah berada di cawangan pengedar sah syarikat itu bermula hari ini.
Seperti biasa, setiap pembelian WMoto RT2 (2024) datang dengan jaminan perbatuan daripada pengeluar iaitu jarak perbatuan tanpa had untuk tempoh dua tahun oleh MForce.