WMOTO SX2-300, Moto Morini X-Cape 650X Jadi Pertaruhan MForce di Rimba Raid Taman Negara 2023!

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

8/29/20231 min read

SEBAGAI antara cara untuk mengukuhkan label dan membuktikan kemampuan model yang ditawarkan oleh WMoto dan Moto Morini, kedua-dua jenama di bawah MForce Bike ini sekali lagi menyertai perlumbaan lasak Rimba Raid Taman Negara 2023.

Seperti tahun lalu, jenama tempatan WMoto akan mempertaruhkan model lasaknya, WMoto SX2-300 manakala jenama Itali, Moto Morini akan membariskan Moto Morini X-Cape 650X.

Memperoleh keputusan yang boleh dianggap baik pada tahun lalu, Moto Morini X-Cape 650X akan ditunggang oleh pelumba yang sama iaitu Muhamad Nazmee Ramlee dengan WMoto SX2-300 akan ditunggang oleh Muhamad Amirul Ramlee.

Bakal berlangsung bermula daripada 31 Ogos hingga 3 September 2023, pasukan WMoto pada tahun lalu berjaya meraih tempat ketujuh keseluruhan bagi kategori C.

Dan Nazmee yang menunggang Moto Morini X-Cape 650X menamatkan perlumbaan dengan kedudukan yang mengagumkan, iaitu tempat ke-15 keseluruhan yang juga menjadio pelumba Malaysia ketiga melepasi garisan penamat untuk kategori B.

Justeru, kejayaan ini membuktikan Moto Morini dan WMoto adalah antara jenama yang perlu digeruni oleh pelumba yang lain pada tahun ini berikutan kemampuannya menamatkan perlumbaan.

Pencapaian itu bukan sahaja menonjolkan keupayaan teknikal motosikal, tetapi juga menunjukkan kecekapan dan ketahanan para pelumba mengharungi segala cabaran yang disediakan oleh pihak penganjur.

Untuk tahun ini, pihak MForce berkata ia akan menggunakan strategi baharu untuk memastikan kedua-dua model yang dipertandingkan ini bakal meraih tempat di podium.

Dan untuk mencapai sasaran itu, MForce akan membuat perancangan yang lebih teliti dengan majlis pengenalan kedua-dua pelumba yang bakal bersaing dibuat ketika acara KL Bike Show 2023 yang baru saja melabuhkan tirainya.