WMOTO Yomi Bakal Gegar Pasaran, Tunggang 'Chopper' Macam Skuter!
Tidak seperti motosikal kruiser dengan gaya Chopper lain, antara keistimewaan WMoto Yomi adalah ia dipadankan dengan transmisi automatik CVT
TERKINI
9/19/20251 min read


LUPAKAN seketika mengenai 'perang' skuter atau kapcai di mana pasaran motosikal tempatan dijangka bakal menerima satu 'mainan' baharu yang cukup unik tak lama lagi daripada jenama WMoto.
Bukan sekadar khabar angin, tetapi perkembangan itu diperoleh kerana WMoto Malaysia sendiri sudah mula 'mengacah' peminat dengan memuat naik imej teaser di laman sosial mereka, memberi bayangan jelas ketibaannya yang semakin hampir.
Dan daripada imej siluet yang dikongsikan, motosikal berkenaan nampak jelas berada dalam segmen kruiser dan berkemungkinan besar model 'Chopper' santai, WMoto Yomi.
Tidak seperti motosikal kruiser dengan gaya Chopper lain, antara keistimewaan WMoto Yomi adalah ia dipadankan dengan transmisi automatik CVT.
Dalam bahasa mudah, penunggang tak perlu pening kepala fikir pasal klac atau tukar gear. Hanya pulas pendikit minyak dan anda terus meluncur.
Sekalipun tampil dengan gaya chopper klasik, WMoto Yomi turut dipadatkan dengan teknologi moden.
Dipadankan dengan enjin bersesaran 125 cc, Penyejuk Cecair, WMoto Yomi bukanlah motosikal yang memfokuskan kepada kuasa, tetapi lebih kepada gaya kepada mereka yang mahukannya.
Malah, ia turut dijangka akan dilengkapi sistem brek cakera depan dan belakang dengan sistem brek ABS dua saluran, satu ciri premium untuk jentera dalam kelasnya.
Ciri-ciri lain termasuklah sistem kunci pintar, pencahayaan LED penuh dari depan ke belakang, serta panel meter digital LCD.
Persoalannya sekarang, adakah gabungan unik ini mempunyai peminatnya tersendiri di Malaysia? Dan apakah WMoto akan mengekalkan namanya 'Yomi' yang kurang garang ketika perasmiannya kelak? Sama-sama kita nantikan pelancarannya.
Spesifikasi Ringkas WMoto Yomi (Jangkaan)
Enjin: 123.7cc, Silinder Tunggal, Sejukan Cecair
Transmisi: Automatik (CVT)
Brek: Cakera Depan & Belakang (dengan ABS Dua Saluran)
Tangki Minyak: 6 liter
Sistem Suspensi: Fork teleskopik (depan), penyerap hentak berkembar (belakang)
Tayar: 80/90-17 (depan), 140/70-13 (belakang)
Tinggi Tempat Duduk: 650mm (Cukup rendah & mesra!)
Berat: 113kg
Ciri Lain: Sistem Kunci Pintar, Pencahayaan LED Penuh, Meter Digital LCD


