WORLD Ducati Week 2024 Cipta Sejarah, rekod 94k Kehadiran Pengunjung!

BERITA

8/3/20242 min read

EDISI ke-12 acara perhimpunan terbesar anjuran Ducati, World Ducati Week (2024) terus mencipta rekod yang menyaksikan kehadiran sejumlah 94,000 pengunjung diterima sepanjang tiga hari penganjurannya di Misano, Itali, baru-baru ini.

Dan jumlah berkenaan seperti dijangka adalah yang terbanyak dalam sejarah penganjuran WDW dengan kehadiran pengunjung diterima daripada 86 buah negara termasuk Malaysia dan kali ini 'berkampung' di Litar Misano Marco Simoncelli.

Seperti edisi-edisi sebelum ini, pelbagai aktiviti yang dijalankan dan istimewanya kali ini, ia menyaksikan pelancaran Ducati Panigale V4 generasi terbaharu serta acara istimewa perlumbaan membabitkan pelumba-pelumba Ducati di MotoGP, WSBK.

Dinamakan sebagai 'Lenovo Race of Champions', ia menampilkan 15 pelumba-pelumba Ducati di pentas MotoGP, WSBK dan BSB.

Dan antara nama yang hadir termasuklah penyandang juara dunia MotoGP, Francesco Bagnaia, juara dunia MotoGP enam kali Marc Marquez dan penyandang juara dunia WorldSBK, Alvaro Bautista.

Perlumbaan yang berlangsung menarik itu dan disiarkan secara langsung di laman Youtube rasmi Ducati dan Facebook MotoGP itu menyaksikan kemenangan menjadi milik Bagnaia.

Ketua Pegawai Eksekutif Ducati, Claudio Domenicali berkata WDW adalah acara yang paling mencerminkan visi jenama itu yang menawarkan pengalaman tidak dapat dilupakan kepada peminatnya.

"WDW dicipta bersama-sama jentera yang istimewa, yang juga gabungan keajaiban teknologi dan keindahan gaya Itali yang sebenar," katanya.

"Angka direkodkan pada edisi ini adalah menakjubkan dan bukti yang minat terhadap Ducati di seluruh dunia sentiasa kuat. Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada semua peserta, tetapi juga kepada kesemua staf Ducati, yang seperti biasa bekerja keras untuk menjayakan pengalaman menakjubkan ini."

Padat dengan pelbagai acara yang turut membabitkan Ducatisti, antara legenda yang hadir termasuklah Troy Bayliss dan Carl Fogarty.

Turut dipamerkan adalah jentera untuk projek terbaharu Ducati dalam segmen perlumbaan MX, prototaip Ducati Desmo450 MX serta kehadiran pelumba MX legenda yang terbabit dengan projek berkenaan, Tony Cairoli (Juara dunia 9 kali) dan Alessandro Lupino (Juara Itali l8 kali).

Berikut adalah antara angka-angka direkodkan ketika WDW 2024:

  • 5,925 pusingan motosikal dilakukan di litar sepanjang 3 hari acara

  • 90,000 gambar diambil oleh barisan jurufoto serta 70 jam rakaman video

  • 86 negara mengambil bahagian

  • 240 kelab Rasmi Ducati hadir

  • 40 gelaran dunia membabitkan pelumba sedia ada dan legenda hadir

  • 15 unit Ducati Panigale V4 S dengan 'liveri' istimewa

  • 33 minit masa yang diambil untuk perarakan motosikal Ducati meninggalkan litar Misano

  • 12 siaran langsung televisyen dan radio untuk perlumbaan 'Lenovo Race of Champions'

  • 98 barisan Pengarah dan Pengurus Ducati dari Borgo Panigale dan seluruh dunia hadir

  • 531 unit Ducati 916/996/998 didaftarkan

  • 565,000 tontonan halaman di laman web Ducati khas untuk WDW 2024 sejak tiket mula dijual

  • 17 juta reaksi di kesemua platform laman sosial rasmi Ducati

  • 687k+ penonton dicatatkan untuk siaran langsung 'Lenovo Race of Champions' di laman YouTube rasmi Ducati dan Facebook rasmi MotoGP