WSBK 2024: Adam Makin Selesa Dengan Honda CBR1000RR-R

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

3/20/20241 min read

PELUMBA tunggal negara di WorldSBK Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) 2024, Adam Norrodin mengakui makin serasi dengan jenteranya, Honda CBR1000RR-R selepas mengharungi dua hari ujian di Sepanyol, minggu lalu.

Selepas memperoleh keputusan yang mengecewakan pada aksi pembuka tirai WSBK 2024 di Phillip Island, Australia, ujian di Barcelona dilihat sesuatu yang amat diharapkan oleh pelumba pasukan Petronas MIE Racing Honda itu.

Dan sekalipun keputusan ujian di Litar Catalunya itu tidaklah boleh begitu dibanggakan, pelumba kelahiran Johor itu mengakui dia semakin selesa dengan jenteranya Honda CBR1000RR-R.

"Ujian ini peluang yang baik untuk saya memahami dengan lebih lanjut mengenai jentera saya selepas pusingan di Phillip Island," kata Adam.

"Saya agak gembira pada hari pertama ujian tetapi kami melakukan beberapa perubahan pada sebelah petang yang nampak kurang efektif.

"Pada hari kedua kami melakukan beberapa perubahan dan melengkapkan lebih banyak pusingan, dan saya merasa agak selesa, juga kerana saya mengubah latihan saya sejak di Phillip Island dengan sasaran meningkatkan fizikal saya.

"Saya sudah pun dapat merasakan peningkatan jadi ia satu lagi perkara positif menjelang perlumbaan pusingan kedua. Saya boleh merasakan yang kami berpotensi dan perlu terus bekerja sebagai satu pasukan."

Pada pusingan 1 di Australia, Adam menduduki tangga ke-20 pada Perlumbaan 1 dan Superpole sebelum memperbaikinya pada Perlumbaan 2 dengan menghuni kedudukan ke-19.

Di Barcelona, catatan terbaik Adam 3.015 saat di belakang pelumba terpantas, Nicolo Bulega dari pasukan Aruba.It Ducati.

Pusingan 2 WSBK 2024 dijadual berlangsung di Catalunya, Barcelona, Sepanyol pada 22 hingga 24 Mac ini.