WSBK 2024: Adam Norrodin Mahu Rapatkan Jurang Dengan Kelompok Depan

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

4/18/20241 min read

MENAMATKAN dua pusingan di kelompok belakang memang sesuatu yang mengecewakan buat pelumba WorldSBK negara dalam kempen WSBK 2024, Adam Norrodin dan prestasi lebih baik diharapkan ketika kempen kembali bersambung di Assen, Belanda minggu ini.

Pada aksi di Australia, pelumba pasukan Petronas MIE Racing Honda itu menamatkan di kedudukan ke-20 (Perlumbaan 1 dan Superpole) dan ke-19 pada Perlumbaan 2.

Dan prestasi hampir sama ditunjukkan pada aksi Pusingan 2 di Barcelona yang menyaksikan Adam menamatkan Perlumbaan 1 di kedudukan ke-20, DNF pada Superpole dan ke-18 pada Perlumbaan 2.

Justeru bagi Adam, pusingan di Assen diharapkan dapat menghasilkan sesuatu lebih baik terutama dalam usaha menempatkan diri dalam kelompok utama atau pungutan mata.

"Kami bersedia dan teruja untuk pusingan 3 di Assen," kata pelumba kelahiran Johor itu. "Saya bertekad untuk terus belajar dan memperbaiki diri dan amat bermotivasi untuk pusingan kali ini kerana saya dapat rasa yang banyak saya belajar pada pusingan sebelum ini.

"Assen bukan litar yang mudah tetapi harapnya pengalaman kami baru-baru ini dapat membantu kami.

"Sasarannya adalah untuk merapatkan jurang di antara kelompok depan dan memperbaiki prestasi di Barcelona dan jika kami boleh melakukannya, ia adalah satu langkah ke depan yang betul."

Beraksi menggunakan jentera Honda CBR1000RR-R, Adam dan rakan sepasukannya Tarran Mackenzie menjadi dua pelumba yang belum mengutip sebarang mata kejuaraan selepas dua pusingan berlangsung.

Tetapi prestasi kurang memuaskan itu bukan hanya berlaku kepada Petronas MIE Racing Honda yang juga pasukan satelit, namun kepada pasukan utama HRC.

Pelumba terbaik Honda ketika ini diisi Xavi Vierge yang mengisi tempat ke-15 keseluruhan manakala Iker Lecuona di kedudukan ke-18.