WSBK 2024: Aksi di Misano Penting Untuk Saya - Adam Norrodin
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
6/14/20241 min read


PELUMBA negara yang beraksi di kancah WorldSBK 2024, Adam Norrodin mengakui keyakinannya meningkat menuju Pusingan 4 Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) di Misano, Itali, minggu ini.
Selepas 'berehat' selama hampir dua bulan, kempen WSBK kembali bersambung di Misano yang turut menjadi gelanggang ujian selama dua hari kejuaraan itu pada penghujung Mei lalu.
Turut menjalani ujian di Misano, Adam yang beraksi bersama pasukan Petronas MIE Racing Honda mengakui susulan ujian berkenaan, dia kini mengetahui apa yang perlu diperlukannya.
Ini kerana selepas tiga pusingan, Adam yang juga bekas pelumba negara di Kejuaraan Motosikal Dunia dalam kelas Moto3 dan Moto2 menjadi satu-satunya pelumba di WorldSBK yang masih belum mengutip sebarang mata kejuaraan.
"Kami akan memulakan babak kedua musim ini di Misano, yang menjadi pusingan yang penting untuk saya, dan ia berlangsung selepas sesi ujian yang kami lakukan," kata Adam.
"Kami kini tahu di mana kami boleh meningkat, dan saya fikir kami boleh melakukan kerja yang bagus kerana kami bekerja dengan baik sebagai pasukan.
"Sasaran utama adalah untuk bersaing dalam kumpulan pada penghujung perlumbaan, jadi harapnya saya boleh memanfaatkan pengalaman saya dan menggunakannya pada pusingan ini," kata Adam.
Beraksi menggunakan jentera Honda CBR1000RR-R, seperti di MotoGP, Honda turut bergelut dalam kempen WorldSBK dengan pelumba pasukan 'kilang' HRC, Xavi Vierge sekadar menghuni tangga ke-14 keseluruhan dengan mengumpul 25 mata.
Carta kejuaraan dunia WorldSBK ketika ini dihuni penyandang juara dari Ducati, Alvaro Bautista yang sudah mengumpul 123 mata diikuti pelumba BMW Motorrad, Toprak Razgatlioglu kedua dengan 117 mata.
