WSBK 2024: KIP Harap Dapat Manfaat Pengalaman Di Misano
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
6/14/20241 min read


KHAIRUL Idham Pawi berharap pengalaman yang dimilikinya di Misano dapat membantunya meraih keputusan lebih baik pada Pusingan 4 perlumbaan WorldSSP Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) 2024 di Misano, Itali hujung minggu ini.
Pelumba pasukan Petronas MIE Racing Honda itu ketika ini menempuh kempen yang agak goyah pada penampilan sulungnya di WorldSSP setakat ini selepas kempunan mata daripada dua pusingan terdahulu di Barcelona dan Assen.
Justeru, penampilannya di Misano, gelanggang yang pernah dia beraksi ketika kancah Kejuaraan Motosikal Dunia diharap memberikan keputusan lebih baik.
Selepas tiga pusingan berlangsung, Khairul Idham atau lebih dikenali sebagai KIP hanya memperoleh mata bersama jentera Honda CBR600RR pada perlumbaan pembuka tirai di Australia, Februari lalu.
"Saya mengetahui litar Misano, saya pernah berlumba di sana pada 2018, jadi harapnya dengan pengalaman itu ia akan membantu kami untuk mencapai beberapa keputusan yang baik," katanya.
Mengulas lanjut aksi di Misano, pelumba kelahiran Perak itu mengakui ujian di Cremona, Itali yang menyaksikan pasukannya mencuba beberapa komponen baru mampu meningkatkan prestasi Honda CBR600RR.
"Kami menjalani ujian di Cremona sebelum ini dan kami berpeluang untuk mencuba sesuatu yang baharu yang sepatutnya memberikan manfaat dari sudut kuasa kuda," kata KIP.
Sebagai info, KIP dan rakan sepasukannya, Kaito Toba dari Jepun menjadi dua pelumba yang menggunakan jentera Honda CBR600RR dalam kempen WorldSSP.
Toba dalam pada itu meraih keputusan yang baik apabila menamatkan aksi di Assen di kedudukan ke-6 yang memberinya 10 mata kejuaraan dan menghuni kedudukan ke-18 carta pelumba manakala KIP di kedudukan ke-31 dengan 1 mata.
