WSBK 2024: KIP Hilang Kata-Kata, Adam Nampak Potensi Di Catalunya

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

3/25/20241 min read

KEMPEN Pusingan 2 Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) 2024 di Catalunya, Barcelona jelas tak berlangsung seperti diharapkan dua pelumba negara, Adam Norrodin dan Khairul Idham Pawi.

Adam yang beraksi dalam kelas perdana WorldSBK bersama pasukan Petronas MIE Racing Team terus bergelut apabila menamatkan ketiga-tiga perlumbaan bukan saja di luar kedudukan mata, namun di kelompok belakang.

Situasi sama turut berlaku kepada Khairul Idham atau lebih dikenali KIP apabila sebelum melepasi garisan penamat di kedudukan ke-29 pada Perlumbaan 2.

Dan kedua-dua seperti menuding jari kepada kemampuan jentera Honda CBR1000RR-R dan Honda CBR600RR yang dilihat tak cukup kompetitif untuk memberikan cabaran.

"Apa yang boleh saya cakap? Ia hari yang sukar," kata KIP. "Saya tidak dapat bersaing dengan pelumba lain, sedikit demi sedikit mereka menjarakkan kedudukan daripada saya.

"Saya mencuba banyak perkara dan saya rasa saya berada di had untuk cuba mengekalkan kelajuan, tetapi saya tidak boleh melakukan yang lebih baik lagi. Kami perlu untuk menambahbaik segala-galanya dan akan terus berusaha untuk cuba melakukan lebih lagi pada pusingan seterusnya."

Adam dalam pada itu melihat aksi di Catalunya sebagai satu lagi medan pembelajaran buat pasukan itu bagi mengharungi lapan lagi pusingan WorldSBK pada musim ini.

"Saya rasa dari sudut catatan masa kami meningkat hari ini (semalam) berbanding Perlumbaan 1, di mana saya berusaha bersungguh-sungguh tetapi tidak mencapai apa yang saya harapkan," kata pelumba kelahiran Johor itu. "Tetapi dari audut kelajuan, semalam (kelmarin) lebih baik dan hari ini saya bergelut dengan masalah tayar.

"Ada penurunan yang besar dari sudut prestasi tayar pada Perlumbaan 2, tetapi ia lebih dramatik berbanding Perlumbaan 1. Saya cuba menguruskannya tetapi tidak mudah.

"Ini adalah perlumbaan panjang pertama kami musim ini kerana di Phillip Island kami perlu melakukan hentian pit, jadi penting untuk mengumpul data dan belajar daripada pengalaman.

"Malah Tarran (Mackenzie) dan saya menghunakan kombininasi tayar yang berbeza yang bermakna kami memiliki lebih banyak data untuk dibuat perbandingan. Jadi kami akan terus bekerja keras dan lihat apa yang boleh kami lakukan di Assen."

Sebagai info, Pusingan 3 WSBK 2024 dijadual berlangsung di Assen, Belanda pada 19 hingga April ini.