WSBK 2024: KIP Mahu Cepat 'Belajar' Selok Belok Most
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
7/18/20241 min read
SEMBILAN perlumbaan berturut-turut tanpa pungutan mata jelas bukan sesuatu yang pernah dibayangkan pelumba WorldSSP negara, Khairul Idham Pawi pada kempen sulungnya di pentas WSBK dan 'kemarau' itu pasti ingin ditamatkan di Most, Republik Czech, minggu ini.
Deretan 'kemarau' pungutan mata Khairul Idham atau lebih dikenali KIP berterusan di Donington Park, UK, minggu lalu selepas menamatkan kedua-dua perlumbaan di tempat ke-25 dan 23.
Sebagai rekod, selepas lima pusingan yang menawarkan 10 perlumbaan, pelumba pasukan Petronas MIE Racing Honda itu hanya berjaya meraih mata pada Perlumbaan 1 Pusingan 1 WorldSSP di Australia.
Dan pelumba kelahiran Perak itu jelas mahu meningkatan berterusan menuju Pusingan 6 di Litar Most, Rep. Czech, sekalipun ia litar yang belum pernah dia beraksi sebelum ini.
"Saya tidak pernah berlumba di Most sebelum ini, jadi tugas pertama saya adalah untuk mempelajari litar," kata KIP.
"Saya berharap kami boleh mengadaptasinya secepat yang mungkin dan mencari rentak yang bagus.
"Kami akan melakukan yang terbaik untuk memperbaiki prestasi kami di Donington Park, meneruskan kemajuan yang kami dapat lihat dari sudut catatan masa sepusingan.
"Harapnya kami akan mengambil satu lagi langkah kecil ke arah yang betul."
Berdasarkan rekod, pasukan Petronas MIE Racing Honda meraih kejayaan membanggakan di Most dalam kelas WorldSSP, musim lalu apabila Tarran Mackenzie meraih kemenangan dan Adam Norrodin menduduki tempat kelima pada Perlumbaan 2 yang berlangsung dalam keadaan litar basah.
Berakhir lima Pusingan WorldSSP 2024, bekas pelumba Moto3 dan Moto2 negara itu ketika ini menghuni tangga ke-33 selepas mengumpul 1 mata kejuaraan.