WSBK 2024: KIP Raih 1 Mata WorldSSP, Adam Norrodin P-20 WorldSBK Di Phillip Island

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

2/24/20241 min read

KHAIRUL Idham Pawi meraih permulaan yang agak positif selepas mengutip mata kejuaraan pertamanya di WorldSSP Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) 2024, hari ini di Phillip Island.

Begitupun, keputusan sama tidak berjaya diikuti rakan sepasukannya di Petronas MIE Racing Honda namun dalam kelas berbeza, Adam Norrodin yang sekadar menamatkan perlumbaan sulungnya di WorldSBK di kedudukan ke-20.

Mengulas prestasinya di Phillip Island bagi Perlumbaan 1, Khairul Idham mengakui dia berdepan sedikit kesukaran membabitkan keyakinan terhadap jenteranya Honda CBR600RR.

"Saya memperoleh permulaan yang baik hari ini tetapi tercicir beberapa posisi apabila ada seseorang kemalangan di depan," kata pelumba yang terkenal dengan julukan KIP itu.

"Saya dapati diri saya bergelut dengan bahagian belakang dan tidak mempunyai banyak keyakinan untuk memusing jentera kerana bahagian belakang sering tergelincir."

Mengulas lanjut, KIP berkata keupayaannya untuk meraih mata pertama kepada pasukan memberinya keyakinan untuk mendapatkan keputusan lebih baik bagi Perlumbaan 2, esok.

"Sudah tentu ada yang positif juga terutama kami memperbaiki catatan sepusingan kami berbanding ketika kelayakan dan saya juga merasa lebih selesa dengan penggunaan gear.

"Saya meraih mata kejuaraan pertama saya juga tetapi pada esok kami akan cuba melakukan yang lebih baik.

"Sasarannya adalah untuk bertambah baik langkah demi langkah jadi saya akan melakukan yang terbaik sekali lagi pada perlumbaan esok.

Sementara itu, Adam mengakui tahap perlumbaan WorldSBK yang diisi antara pelumba-pelumba terbaik dunia menguji sepenuhnya ketahanannya.

"Perlumbaan pertama yang sukar tetapi saya mahu berterima kasih kepada keseluruhan pasukan selepas penukaran tayar yang berlangsung dengan cukup lancar dan semua orang bekerja amat keras," kata Adam.

"Pada bahagian pertama perlumbaan, saya berjaya mendapatkan masa sepusingan yang baik, sedikit lebih pantas berbanding sebelum ini, tetapi pada bahagian kedua saya mula bergelut dengan fizikal dan tidak dapat mengikuti kelajuan perlumbaan.

"Sekurang-kurangnya kami melengkapkan perlumbaan dan mengutip lebih data, jadi kami akan cuba menggunakannya dan menjadikannya kelebih dan bersedia serta bertambah baik pada perlumbaan esok."

Sementara itu, rakan sepasukan KIP, Kaito Toba menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-18 manakala rakan sepasukan Adam di WorldSBK, Tarran Mackenzie melengkapkan perlumbaan di kedudukan ke-19.