WSBK 2024: Minggu Yang Sukar Buat Adam, KIP Di Assen
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
4/22/20242 min read
KEBANGKITAN terutama cuba untuk menamatkan perlumbaan dalam kelompok pungutan mata tidak berjaya dilaksanakan dua pelumba negara di Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) 2024, Adam Norrodin dan Khairul Idham Pawi di Assen, Belanda.
Pada aksi Pusingan 3 WSBK musim ini itu, Adam yang beraksi dalam kelas elit WorldSBK bersama pasukan Petronas MIE Honda terpaksa meninggalkan kempen sebagai satu-satunya pelumba yang masih mengutip mata.
Pada Perlumbaan 1, pelumba kelahiran Johor itu melepasi garisan penamat di kedudukan ke-17 namun mengalami masalah elektronik pada Perlumbaan Superpole dan ke-20 pada Perlumbaan 2.
"Minggu yang sukar buat saya. Kami berdepan masalah elektronik ketika Perlumbaan Superpole, yang menjadi sebab mengapa saya perlu memasuki hentian pit pada penghujung perlumbaan," kata Adam.
"Kami melakukan perubahan yang besar untuk Perlumbaan 2 dan perasaannya menjadi lebih baik, tetapi kami perlu memahaminya dengan lebih baik untuk mendapatkan keseimbangan yang baik dari sudut pelarasan.
"Saya juga bergelut dengan masalah lengan pada munggu ini yang bagi saya agak pelik. Saya tidak mengalami masalah itu di Australia atau Sepanyol tetapi ia menjadi isu di sini.
"Jadi kami perlu memahami bagaimana untuk menguruskan situasi itu dan memperbaiki perasaan saya terhadap jentera secara keseluruhan," kata Adam yang berharap sesi ujian bulan depan dapat membantunya mendapatkan keserasian lebih baik dengan jentera Honda CBR1000RR-R.
Sementara itu, keadaan cuaca di Assen sememangnya memberi kesukaran buat Khairul Idham atau lebih dikenali sebagai KIP terutama dari sudut pemilihan tayar.
"Satu lagi perlumbaan yang gila. Kami kehilangan masa pada permulaan perlumbaan ketika masih menggunakan tayar kompaund kering (licin) dengan harapan kami boleh meraih keputusan yang lebih bagus jika kami memasuki hentian pit lebih awal.
"Apapun kami melengkapkan perlumbaan dan meraih lebih banyak pengalaman berharga yang boleh kami bawa ke depan di mana kami akan terus bekerja keras untuk cuba memperbaiki perlumbaan selepas ini."
Ketika aksi di Assen tampak tidak menyebelahi Adam dan KIP, kedua-dua rakan sepasukan pelumba negara itu tampak memperoleh kempen yang baik.
Rakan sepasukan Adam, Tarran Mackenzie bukan saja berjaya menamatkan kemarau pungutan mata, malah menamatkan dua perlumbaan dalam kelompok pungutan mata iaitu ke-14 pada Perlumbaan 1 dan ke-11 pada Perlumbaan 2.
Rakan sepasukan KIP, Kaito Toba juga memecahkan kebuntuan pungutan mata apabila menamatkan Perlumbaan 2 di tangga ke-6.
Perlumbaan Pusingan 4 WSBK 2024 dijadual berlangsung di Misano, Itali pada 14 hingga 16 Jun depan.