WSBK 2024: Motivasi KIP Tetap Tinggi Di Assen
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
4/18/20241 min read
SELEPAS mengharungi kempen yang boleh dianggap mengecewakan di Pusingan 2 WorldSSP WSBK 2024 di Barcelona, sasaran utama diletakkan pelumba tunggal negara di kejuaraan berkenaan, Khairul Idham Pawi pada pusingan seterusnya di Belanda, minggu ini adalah kembali kompetitif.
Pada aksi di Sepanyol Mac lalu, Khairul Idham atau lebih dikenali KIP menamatkan Perlumbaan 1 di kedudukan ke-28 diikuti kedudukan ke-29 pada Perlumbaan 2.
Justeru, keputusan lebih baik diharapkan oleh pelumba pasukan Petronas MIE Honda Racing itu di Litar Assen terutama kembali berada di posisi yang mendapatkan pungutan mata.
"Sasaran di Assen kekal sama, untuk cuba dan menamatkan perlumbaan dalam kelompok pungutan mata dan terus membangunkan jentera sepanjang minggu dalam usaha untuk meningkatkan prestasi secara keseluruhan," kata KIP.
"Saya juga sedang berusaha untuk menambahbaik kemampuan saya. Saya tidak sabar untuk kembali ke litar dan berlumba sekali lagi.
"Ayuh lihat apa yang boleh kami lakukan," kata pelumba kelahiran Perak itu.
Pada Pusingan 1 di Australia, KIP yang menunggang jentera Honda CBR600RR berjaya meraih 1 mata selepas menamatkan Perlumbaan 1 di kedudukan ke-15 sebelum jatuh ke tangga ke-23 pada Perlumbaan 2.
Selepas dua pusingan berlangsung, KIP yang bergandingan dengan pelumba Jepun, Kaito Toba menghuni kedudukan ke-25 carta pelumba yang ketika ini dikuasai pelumba Ducati, Yari Montella.