WSBK 2024: TOPRAK Idam Gelaran 'Treble' Di Misano

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

6/16/20241 min read

TOPRAK Razgatlioglu menjuarai Perlumbaan 1 WorldSBK Pusingan 4 WSBK 2024 di Misano, Itali, semalam dan muncul pelumba BMW pertama mengungguli carta kejuaraan sejak kali terakhir dilakukan Marco Melandri pada 2012.

Sekalipun memulakan perlumbaan di petak utama, Razgatlioglu ynag berlumba bersama pasukan ROKiT BMW Motorrad berjaya dipintas pelumba Yamaha, Remy Gardner di awal saingan.

Begitupun, kedudukan itu tidak lama apabila pelumba kelahiran Turki itu kembali memintas Gardner dari pasukan GYTR GRT Yamaha selepas empat pusingan.

Dan tidak lagi menoleh ke belakang, pelumba yang menggunakan jentera BMW M1000RR itu melepasi garisan penamat sebagai pemenang dengan kelebihan 1.8 saat di depan pelumba Ducati, Nicolo Bulega.

Kemenangan menyaksikan Razgatlioglu kini berdiri di puncak carta kejuaraan namun dengan kelebiha cukup tipis, 3 mata berbanding pencabarnya, Alvaro Bautista yang menamatkan aksi di Misano di tangga ketiga.

"Perlumbaan yang sukar, untuk semua orang kerana keadaan yang panas," kata Razgatlioglu. "Saya hanya fokus untuk menunggang jentera saya dan cuba untuk mendapatkan kelajuan yang baik, dan akhirnya kami menang.

"Saya gembira yang kini kami adalah pendahulu kejuaraan, tetapi ini bukan fokus saya.

"Saya hanya fokus kepada esok (hari ini) kerana saya masih mempunyai dua perlumbaan. Saya akan cuba melakukan yang terbaik sekali lagi kerana ini adalah impian saya, sasaran saya, tiga kemenangan."

Razgatlioglu kini menambah jumlah kemenangannya di WorldSBK kepada 43 dan berkongsi kedudukan kelima bersama pelumba Jepun, Noriyuki Haga dalam carta pelumba terbanyak meraih kemenangan di belakang Troy Bayliss (52), Carl Fogerty (59), Alvaro Bautista (61) dan Jonathan Rea (119).