WSBK Argentina 2023 Dibatalkan, Malaysia Ada 'Can' Nak Ganti?

TULAR

7/25/20231 min read

SEPERTI diumumkan pengelolanya, perlumbaan Pusingan ke-12 yang juga penutup tirai Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) 2023 di Argentina dibatalkan dengan status mengenai venue dan tarikhnya masih lagi berstatus 'TBA' atau akan diumumkan.

Perlumbaan di Argentina dibatalkan atas alasan pilihan raya umum yang dijadual berlangsung pada tempoh yang sama dengan tarikh perlumbaan di negara berkenaan.

Jika melihat kepada jadual terdahulu, perlumbaan WSBK 2023 di Argentina dijadual pada 15 Oktober.

Setakat ini, sudah tujuh pusingan perlumbaan WSBK berlangsung musim ini dengan pusingan berikutnya adalah di Perancis yang dijadual pada 8 hingga 10 September depan.

Susulan ketiadaan Argentina, timbul pandangan terutama daripada peminat sukan permotoran tanah air yang menyatakan adakah Malaysia patut mengambil peluang itu untuk menganjurkan semula WSBK di negara ini.

Tiada respon daripada pihak yang berkuasa atau bertanggungjawab termasuk SIC (Litar Antarabangsa Sepang) selaku pengelola vanue membabitkan perkara berkenaan.

Tetapi jika melihat kepada kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif sebelum ini, beliau nampak tidak bermasalah untuk perlumbaan itu kembali ke Malaysia namun ada beberapa 'tembok penghalang' yang menyukarkan ia menjadi kenyataan.

Dan paling utama adalah membabitkan kewangan atau dana untuk menganjurkannya.

Melihat kepada sudut tarikan, rakyat Malaysia memang mempunyai sebab untuk melihat perlumbaan WSBK di Sepang.

Antaranya adalah Malaysia mempunyai dua wakil yang berlumba secara sepenuh masa di kejuaraan itu pada musim ini iaitu Hafizh Syahrin Abdullah (WorldSBK) dan Adam Norrodin (WorldSSP).

Begitupun sedikit mengecewakan, prestasi yang ditampilkan kedua-dua pelumba berbakat negara itu yang menggunakan jentera Honda tidak begitu memberangsangkan setakat ini.

Jika melihat kepada risiko pertindihan dengan perlumbaan MotoGP, ia juga bukan masalah kerana GP Malaysia dijadual berlangsung pada 10 hingga 12 November.

Apapun, sebagai peminat, kita hanya mampu berharap dan sebagai rekod, kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah WSBK adalah pada tahun 2016 di SIC.