WSBK: Selamat Tinggal Kawasaki, Jonathan Rea Sah Sertai Yamaha

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

9/4/20231 min read

SELEPAS enam kejuaraan dunia WorldSBK (Kejuaraan Superbike Dunia) dirangkul bersama Kawasaki, Jonathan Rea rasmi meninggalkan pasukan itu untuk menyertai Yamaha musim 2024.

Rea, 36 tahun yang akan mengisi lompong yang ditinggalkan Toprak Razgatlioglu menandatangani kontrak selama dua tahun dan akan bergandingan dengan Andrea Locatelli.

Yamaha Motor Eropah dalam satu kenyataan berkata: "Kami gembira untuk mengumumkan yang juara dunia enam kali Superbike FIM Jonathan Rea akan berlumba bersama Andrea Locatelli di Pata Yamaha Prometeon WorldSBK Official Team pada 2024 dengan kontrak selama dua tahun."

Selain bergelar juara dunia terbanyak WorldSBK, Rea yang memulakan kariernya di WorldSBK bersama Honda pada 2009 sebelum menyertai Kawasaki pada 2015 melakar pelbagai lagi rekod bersama pengeluar Jepun itu.

Antara rekod yang dipegang adalah pemenang terbanyak kelas utama dengan 119 kemenangan, podium terbanyak (256), rekod sepusingan terbanyak (102), 401 permulaan, mata terbanyak (Lebih 6,000 mata) sejak 2008 dan pelbagai lagi.

"Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada semua orang di KMC (Kawasaki Motor Corporation) dan KRT (Kawasaki Racing Team) kerana mempercayai saya dan memberikan saya peluang untuk membuktikan diri saya di peringkat paling tinggi.

"Banyak yang saya belajar selain menjadi seorang insan dan pelumba sejak hari pertama saya menunggang jentera Ninja ZX-10R," kata Rea.

"Menang enam kali gelaran dunia WorldSBK berturut-turut akan sentiasa menjadi kejayaan terbaik saya di Kasasaki, dan ia juga akan menjadi memori yang menakjubkan, pengajaran hidup, kegembiraan yang saya akan simpan bersama saya.

"Dan sudah tentu, misi kami adalah untuk melengkapkan musim 2023 dengan sebaik mungkin dengan komitmen saya yang kami sentiasa tampilkan."

Kawasaki dalam satu kenyataan mengesahkan Rea akan meninggalkan Kawasaki Racing Team pada penghujung musim 2023 atas pertujuan bersama sekalipun pelumba berkenaan mempunyai kontrak sehingga 2024.

Setakat ini, Kawasaki belum mengumumkan sebarang nama untuk bergandingan bersama Alex Lowes bagi musim 2024.