X-WEDGE, Jenama Kruiser Mewah Terjah Pasaran Malaysia Q3, Pertaruh 4 Model Menarik!
TERKINI
3/9/20252 min read


MENGIKUTI pengumumannya sebelum ini, jenama motosikal bergaya kruiser mewah, X-Wedge sah memasuki pasaran Malaysia pada tahun ini dan tiba bersama mereka adalah empat model menarik.
Dihasilkan di China untuk menjadi 'pencabar' kepada jenama-jenama motosikal kruiser ternama dari negara Uncle Sam, syarikat itu ketika majlis pra-tonton jenama itu secara bersemuka membuktikan X-Wedge sememangnya memiliki kemampuan berkenaan.
Sekalipun masih baharu, ia tidak menghalang X-Wedge daripada mengembangkan pengaruhnya termasuk di Asia Tenggara dengan MForce Bike Holdings menjadi pihak bertanggungjawab terhadap pengedarannya di Malaysia.
Dan berdasarkan informasi yang diperoleh, kehadiran jenama berkenaan dijadualkan pada suku ketiga (Q3) pada tahun ini iaitu sekitar Julai atau Ogos depan.
Sebelum pergi lebih jauh, enjin yang digunakan oleh model-model X-Wedge sememangnya bukan 'biasa-biasa' kerana ia dihasilkan dan dibekalkan oleh firma terkemuka Amerika Syarikat, S&S.
Justeru, apa yang menarik dan mampu menjadi daya pemikat adalah bunyi yang dihasilkan motosikal X-Wedge sememangnya cukup mirip model daripada negara berkenaan.
Dari sudut penampilan pula, X-Wedge mendapatkan sentuhan daripada firma pereka terkemuka Austria, KISKA Design yang sememangnya terkenal dengan rekaan menarik dan menjalankan kerjasama terhadap model KTM, GasGas dan Husqvarna.
Justeru sekalipun memiliki gaya dan 'bunyi' mirip jenama AS dan rekaan yang mengancam, apa yang menarik adalah model-model X-Wedge ini dijanjikan akan dijual pada harga yang jauh lebih 'marhaen'.
Dan untuk pasaran Malaysia, 4 model yang dirancang untuk diperkenalkan adalah:
X-Wedge Ranger RX2000 (Kruiser klasik)
X-Wedge Rover RL2000 (Kruiser bagger)
X-Wedge Vanguard VT2000 (Trike - dua roda belakang)
X-Wedge Walker WR1000 (Trike - dua roda depan mirip Can-Am Spyder)
Mengulas trenkuasa, kebanyakan model X-Wedge berkongsi enjin bersesaran 1,976 cc, V-Twin 56 darjah yang menghasilkan kuasa 102 Hp @ 5,000 rpm dan tork 158 Nm @ 3,000 rpm.
Hanya satu model iaitu X-Wedge Walker WR1000 dipadankan dengan enjin 975 cc, V-Twin yang menghamburkan kuasa 80 Hp @ 7,500 rpm dan tork 80 Nm @ 5,500 rpm.
Sebagai motosikal moden, ia turut dilengkapi dengan pelbagai ciri moden antaranya 'Cruise control, 'Traction control' Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dan sebagainya secara standard.
Dan untuk jenama yang turut diposisi dalam segmen gaya hidup, X-Wedge sudah pasti mempunyai sasaran pasaran tersendiri dalam usaha untuk memberikan pengalaman premium kepada pelanggannya.
Justeru selain menjual motosikal, X-Wedge juga turut menghasilkan pelbagai aksesori antaranya jaket kulit, kasut but, helmet dan lain-lain bersama pusat jualan bercirikan konsep khas X-Wedge yang turut memiliki cafe.
Untuk pasaran tempatan, pihak MForce juga dikatakan sudah pun membuat perancangan teliti dan bakal membuka empat pusat jualan X-Wedge yang bertempat di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor dan Sabah.












