X-WEDGE Rasmi Di Malaysia, Pertaruh 5 Model Premium, Datuk Awie Pemilik Pertama!

Tampil sebagai jenama mewah dan memfokuskan kepada motosikal dalam segmen kruiser, X-WEDGE dibangunkan dengan tujuan untuk memberikan saing kepada jenama yang sinonim dalam segmen itu seperti Harley-Davidson dan membawa inspirasi gaya hidup 'American cruiser'

PELANCARAN

2/1/20261 min read

KURANG setahun selepas pengumuman kehadiran di Malaysia, jenama motosikal premium dari China, X-WEDGE akhirnya dirasmikan untuk pasaran tempatan, hari ini.

Tampil sebagai jenama mewah dan memfokuskan kepada motosikal dalam segmen kruiser, X-WEDGE dibangunkan dengan tujuan untuk memberikan saing kepada jenama yang sinonim dalam segmen itu seperti Harley-Davidson dan membawa inspirasi gaya hidup 'American cruiser'.

Justeru, fokusnya adalah motosikal dengan sesaran enjin berkapasiti tinggi yang sesuai untuk tunggangan jarak jauh.

Sebagai permulaan, lima model ditawarkan dengan harga asas bermula RM 68,888 sehingga RM 148,888.

Lima model berkenaan adalah:

  • X-WEDGE Vanguard VT2000

  • X-WEDGE Rover RL2000

  • X-WEDGE Rover RL2000S

  • X-WEDGE Ranger RX2000

  • X-WEDGE Walker WR1000

Sempena pelancarannya juga, pihak MForce Bike selaku pengedar eksklusif jenama X-WEDGE mengumumkan legenda rock tanah air, Datuk Awie sebagai pemilik pertama motosikal jenama itu.

Dan pilihan penyanyi dan pelakon popular itu adalah X-WEDGE Rover RL2000S dengan pilihan warna Moonlit White.

Sedikit itu, X-WEDGE adalah sebahagian daripada Hisun Motors, syarikat yang dikenali sebagai antara pengeluar ATV dan UTV terbesar di negara itu.

Bukan jenama 'biasa-biasa', trenkuasa X-WEDGE seperti dapat dilihat adalah dihasilkan dan dibekalkan oleh firma terkemuka Amerika Syarikat, S&S.

Justeru menariknya, bunyi yang dihasilkan motosikal X-WEDGE sememangnya cukup mirip model HD.

Dari sudut penampilan pula, XWEDGE turut mendapatkan sentuhan daripada firma pereka terkemuka Austria, KISKA Design yang sememangnya terkenal dengan rekaan menarik dan menjalankan kerjasama terhadap model KTM, GasGas dan Husqvarna.

Menurut X-WEDGE Malaysia, model-model yang diumumkan sudah pun boleh dimiliki melalui rangkaian pengedar eksklusif, MForce Bike Holdings Sdn Bhd seluruh negara.