YADEA G 150 P (2024) Rasmi Di Malaysia, RM 7k, Belum Rebat MARiicas!

PELANCARAN

5/23/20241 min read

MFORCE Bike Holdings (MForce Bike) terus meningkatkan penawarannya dalam segmen skuter/motosikal elektrik dengan melancarkan Yadea G 150 P (2024), hari ini sempena acara membabitkan automotif terbesar negara, Malaysia Autoshow 2024.

Harga yang diumumkan untuk skuter elektrik buatan Yadea itu adalah RM 6,999 (asas) tanpa rebat Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik (MARiiCas) berjumlah RM 2.4k (kepada yang layak).

Sebagai info, rekaan Yadea G 150 P (2024) dihasilkan oleh firma membabitkan reka bentuk terkemuka, KISKA Design yang beribu pejabat di Salzburg, Austria.

Tiga pilihan warna ditawarkan untuk pasaran Malaysia iaitu Bir, Hitam/Jingga dan Kelabu.

Hadir melancarkan Yadea G150 P (2024) di Malaysia Autoshow 2024 yang sedang berlangsung, hari ini adalah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Turut hadir pada majlis berkenaan adalah Ketua Pegawai Operasi MForce Bike, Asri Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif MARii, Azrul Reza Aziz.

Mengulas ringkas spesfiikasi mekanikal Yadea G 150 P (2024), ia dipadankan dengan motor elektrik 2,000W yang dipacu pek bateri 72V36Ah Graphene.

Seperti skuter elektrik lain, angka tork yang dihasilkan cukup besar iaitu 145 Nm.

Dua mod tunggangan tersedia iaitu Mod 1 dan 2. Untuk Mod 1, kelajuan maksimum adalah 50 km/j manakala kelajuan Mod 2 adalah 60 km/j bersama jarak tunggang 100 km.

Ciri-ciri lain adalah seperti sistem lampu LED penuh, panel meter LCD 5-inci digital dan penggunaan brek cakera untuk kedua-dua roda.

Kepada yang berminat, Yadea G 150 P (2024) dijangka akan mula tiba di bilik pameran Yadea Malaysia pada Ogos depan.