YADEA Malaysia Lancar Yadea Velax (2025), RM 7.1k, Belum Rebat MARiiCass!
Seperti kebanyakan penawaran skuter dan motosikal elekrik di pasaran, pembeli Yadea Velax (2025) yang layak turut berpeluang menerima rebat sehingga RM 2,400 di bawah program MARiiCas
PELANCARAN
8/10/20251 min read


YADEA Malaysia meningkatkan penawarannya dalam segmen skuter elektrik dengan melancarkan Yadea Velax (2025), model yang padat dengan teknologi moden dan direka untuk keselesaan serta kecekapan penunggang urban masa kini.
Dijual pada harga asas RM 7,099 (tidak termasuk insurans dan cukai jalan), tiga pilihan warna menarik ditawarkan iaitu Blue, Black dan Grey.
Dengan harga yang diumumkan, Yadea berkata ia adalah antara skuter elektrik paling mampu milik dalam kelasnya.
Dan apa lebih menarik, seperti kebanyakan penawaran skuter dan motosikal elekrik di pasaran, pembeli yang layak turut berpeluang menerima rebat sehingga RM 2,400 di bawah program MARiiCas yang diperkenalkan oleh MARii dan MITI.
Rebat ini menjadi galakan kepada rakyat Malaysia untuk beralih kepada kenderaan elektrik yang lebih hijau dan mampan.
Yadea Velax (2025) dikuasakan motor elektrik berkuasa 2,000W dengan kuasa maksimum 3,200W dan tork sehingga 172 Nm dengan kuasa dijana bateri LFP 72V30Ah.
Masa pengecasan juga dikatakan amat praktikal dengan hanya 6 jam diperlukan untuk mengecas dari 0% ke 80% dan sekitar 8 jam untuk pengecasan penuh.
Jarak tunggangan adalah sekitar 105 km dengan sekali cas penuh dengan kelajuan maksimum sehingga 62 km/j.
Dari sudut rekaan, ia boleh dikatakan menjadi antara kekuatan Yadea Velax (2025) yang tidak nampak seperti skuter elektrik tipikal.
Dan mungkin paling memberi keyakinan adalah Yadea Velax (2025) adalah ia dilengkapi dengan penarafan kalis air IPX7 termasuk bahagian motor dan bateri yang membolehkannya beroperasi seperti biasa walaupun berada di dalam air sedalam 1 meter selama 30 minit.
Malah ia turut dilengkapi dengan fungsi gear undur bagi memudahkan pergerakan penunggang.
Info dan ciri-ciri menarik:
Tinggi pelana 760 mm
Berat 110 kg
Set roda 90/90-14 (depan) 100/90-14 (belakang)
Brek cakera (depan/belakang) dengan sistem Combi (CBS)
Suspensi fork teleskopik (depan) penyerap hentak berkembar (belakang)
Tersedia 2 mod tunggangan ‘S’ (Sport) dan ‘E’ (Eco)
Panel meter digital TFT dengan sambungan telefon pintar
Port pengecas USB Type-A
Sistem lampu penuh LED
Lampu kecemasan
Setiap pembelian YADEA Velax boleh menikmati jaminan pengeluar selama dua tahun atau jarak perjalanan 20,000 km (yang mana tiba dahulu) tertakluk kepada terma dan syarat.
















