'YAKIN Ducati Akan Kompetitif Setiap Pusingan'
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
2/16/20251 min read


BOS Ducati Lenovo, Davide Tardozzi yakin barisan pelumbanya akan kompetitif pada setiap perlumbaan MotoGP musim 2025.
Pasukan 'kilang' pengeluar Itali itu, Ducati Lenovo mengesahkan akan menggunakan enjin spesifikasi 2024 bagi jentera GP25 termasuk seorang pelumba VR46 Ducati.
Keputusan itu juga bermakna Ducati akan menggunakan enjin yang sama selama dua musim 2025 dan 2026 berikutan peraturan kejuaraan tetapi situasi itu jelas tidak mencetuskan bimbang Tardozzi.
"Saja amat yakin yang pelumba-pelumba kami akan menjadi amat kompetitif setiap perlumbaan dan juga kejuaraan," kata Tardozzi kepada MotoGP.com.
"Tetapi seperti yang saya cakap sepanjang musim sejuk apabila semua orang berkata kami sudah pun menjulang gelaran, saya mengenali pencabar kami dan mereka amat bagus.
"Mereka mempunyai pelumba-pelumba yang amat baik, jurutera yang bagus dan ramai daripadanya daripada Ducati.
"Jadi saya fikir kami tidak boleh merendahkan mereka dan akan ada beberapa perlumbaan yang kami tidak menang dan perlu mengutip mata kerana kejuaraan lebih penting daripada memenangi setiap perlumbaan."
Dengan Ducati GP25 turut dikatakan akan menggunakan casis dan pakej aerodinamik daripada GP24 di awal musim, timbul persoalan pengeluar lawan akan berjaya merapatkan jurang.
Dan sekalipun mengakui 'bimbang' dengan kebangkitan yang ditampilkan mereka ketika ujian pra-musim, Tardozzi berkata ia menunjukkan kebaikan daripada peraturan yang diperkenalkan penganjur.
"Saya gembira kerana ia menunjukkan yang peraturan menjalankan tugasnya. Nampaknya dengan memberikan pengeluar yang bergelut seperti Yamaha dan Honda konsesi membuahkan hasil.
"Saya fikir yang Dorna melakukan keputusan yang baik. Jadi, kita dalam melihat yang Fabio (Quartararo) meningkat," katanya.
