'YAKIN Jorge Martin Akan Menang Gelaran Dunia MotoGP Dengan Aprilia'
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
6/12/20241 min read
ALEIX Espargaro meletakkan kepercayaan yang pelumba baharu Aprilia musim depan, Jorge Martin mampu menjulang kejuaraan dunia MotoGP bersama pengeluar Itali itu.
Martin membuat kejutan sejurus Grand Prix Itali 2024 berakhir apabila menandatangani kontrak bersama Aprilia sekaligus menafikan Ducati untuk mendapatkan khidmatnya.
Pelumba pasukan Pramac Ducati itu membuat keputusan berkenaan selepas Ducati dilaporkan membuat 'Pusingan U' dengan memilih Marc Marquez selepas juara dunia lapan kali itu enggan menyarung jersi Pramac musim depan.
Diketahui memiliki hubungan cukup baik dengan Martin, Espargaro mendedahkan rakan senegaranya itu bertemunya sejurus mengetahui disisihkan Ducati dan berjaya meyakinkan pelumba itu untuk menyertai Aprilia.
Dan kehadiran Martin diyakini pelumba paling veteran di grid MotoGP 2024 itu mampu membawa kejayaan cukup membanggakan buat Aprilia.
"Saya akan bertaruh yang dia akan melakukannya. Sejak saya menyertai Aprilia lapan tahun lalu kami tidak pernah berhenti meningkat," kata Espargaro.
"Saya memenangi beberapa perlumbaan dalam tempoh beberapa tahun ini dan dia cukup berbakat, keinginan yang amat tinggi dan masih muda.
"Semua orang di Noale amat teruja untuk memiliki salah seorang pelumba terbaik di atas litar," katanya.
Espargaro dalam pada itu turut menjelaskan situasi bagaimana Martin boleh memilih Aprilia berbanding pencabar lain.
"Ia benar-benar situasi yang agak unik," kata Espargaro. "Selepas perlumbaan, Jorge dan pengurusnya menyedari yang pilihannya untuk pergi ke Ducati tidak jelas seperti yang mereka jangka.
"Jadi dia mula berbincang dengan jenama berbeza, pengeluar berbeza dan dia datang ke kediaman bergerak saya. Kami berborak sehingga tengah malam dan saya cuba meyakinkan dia yang Aprilia adalah pilihan terbaik untuknya kerana saya tahu betapa tingginya potensi Aprilia, betapa bagusnya pasukan ini dan saya mengetahui bakatnya.
"Jadi saya tahu yang tempat yang sempurna untuknya adalah Aprilia. Saya meyakinkannya dan Massimo benar-benar bijak untuk menyiapkan segala-galanya dengan amat pantas.
"Ia adalah peluang yang benar-benar bagus untuk Aprilia dan sesuatu yang kami fikir tidak akan berlaku. Pada saya, ia adalah impian untuk memiliki Jorge menunggang jentera saya tahun depan."