YAMAHA 135LC Fi, SE (2023) Dapat Warna Baharu, Harga Mula 8.3k!

PELANCARAN

10/6/20231 min read

MOTOSIKAL kapcai yang dihasilkan khusus untuk pasaran Malaysia, Yamaha 135LC Fi, SE (Special Edition) diberikan kemas kini, hari ini oleh Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) bagi versi 2023.

Begitupun, kemas kini yang dijalankan hanya membabitkan 'kosmetik' iaitu membabitkan pilihan skema warna dan corak grafik baharu yang didakwa lebih menarik perhatian.

Tiga pilihan warna baharu untuk Yamaha 135LC Fi (2023) Standard adalah 'Cyan, White' dan 'Navy'.

Manakala untuk varian SE, pilihan warna tunggal yang ditawarkan adalah 'Blue'.

Dan harga yang diumumkan adalah seperti berikut:

  • Yamaha 135LC Fi (2023) Standard - RM 8,298 (asas)

  • Yamaha 135LC Fi (2023) SE - RM 8,798 (asas)

Sebagai rekod, harga yang diumumkan oleh HLYM menyaksikan tiada peningkatan harga untuk varian Standard namun bagi varian SE, berlaku kenaikan RM 100 berbanding versi sebelum ini.

Dan seperti biasa, harga yang diumumkan tidak termasuk yuran pendaftaran, cukai jalan dan insuran.

Tiada yang berubah di bahagian trenkuasa dengan Yamaha 135LC Fi, SE (2023) dijana enjin Euro4 bersesaran 135 cc, 1 Silinder, 4 Lejang, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan yang digandingkan dengan transmisi 4 kelajuan klac auto.

Kuasa yang dihasilkan adalah 12.5 Hp pada 8,000 rpm dan tork 12.2 Nm pada 6,000 rpm.

Setiap pemilik berpeluang mendapat kunci cakera keselamatan Yamaha berminat RM 100 bagi varian Standard namun varian SE, pembeli turut memperoleh 'Visor Sports' selain 'Yamaha Premium Basket'.

Kepada yang berminat, Yamaha 135LC Fi, SE (2023) sudah pun berada di cawangan pengedar rasmi HLYM bermula hari ini.