YAMAHA Aerox 155 (NVX) Generasi Baharu Bakal Lancar Bulan Depan, YECVT, Brek Cake Belakang?

TERKINI

8/5/20241 min read

SATU perkembangan menarik muncul di negara jiran, baru-baru ini apabila Yamaha Motor Indonesia dilaporkan bakal melancarkan generasi terbaharu skuter bergaya 'Sporty' popular Yamaha Aerox 155, tak lama lagi.

Seperti diketahui, Indonesia menjadi negara 'debut' global kepada Yamaha NMax Turbo pada Jun lalu, model yang memiliki sesaran enjin yang sama dengan Yamaha Aerox 155 atau dikenali Yamaha NVX di Malaysia.

Menurut laporan media di seberang, Yamaha Aerox 155 yang sudah memasuki generasi ketiga sedang menjalani ujian dengan pelancarannya dijadual pada bulan depan.

Dan lebih menarik, ia dijangka akan dilancarkan sempena Grand Prix Indonesia yang dijadual pada September depan di Litar Mandalika.

Sebagai model generasi terbaharu, apa yang boleh dijangka ia bakal mengalami pelbagai perubahan termasuk dari sudut rekaan dan trenkuasa yang mungkin sama seperti Yamaha NMax Turbo.

Kekal dengan enjin bersesaran 155 cc, apa yang baharu pastinya adalah pengenalan sistem YECVT atau Yamaha Electric Continuously Variable Transmission.

Dalam bahasa mudah, teknologi YECVT dikatakan berbeza daripada sistem CVT biasa dan didakwa memberikan rasa sensasi ala 'Turbo' ketika memecut.

Dan mungkin juga mengujakan, antara naik taraf yang diberikan kepada Yamaha Aerox 155 generasi terbaharu adalah sistem brek belakang yang menggunakan 'dram' akan digantikan dengan brek cakera.

Setakat ini, tiada kenyataan rasmi daripada Yamaha mengenai perkara itu tetapi berdasarkan populariti dan sejarah, Yamaha Aerox lebih popular di satu lagi negara Asean iaitu Vietnam dan debut pertamanya dibuat di negara berkenaan.

Jadi adakah Yamaha Aerox 155 serba baharu akan dilancarkan lebih awal dan bukannya di Indonesia? Sama-sama kita nantikan.