YAMAHA Aerox (2025) Generasi Terbaharu, 'Saudara' Yamaha NVX Lancar Di Thailand, Malaysia Menyusul?
Sebagai model generasi baharu, Yamaha Aerox (2025) yang diposisikan dalam segmen sporty ini dikatakan tampil dengan penampilan yang lebih agresif, lagi pintar dan berteknologi
TERKINI
9/9/20251 min read


GENERASI ketiga Yamaha Aerox 2025, model yang dikenali Yamaha NVX di Malaysia membuat debut globalnya di Indonesia hujung 2024 dan model yang tampil dengan pelbagai pembaharuan termasuk membabitkan rekaan itu secara rasmi memasuki pasaran Thailand.
Sebagai model generasi baharu, skuter yang diposisikan dalam segmen sporty ini dikatakan tampil dengan penampilan yang lebih agresif, lagi pintar dan berteknologi.
Menurut Yamaha, rekaan fairing adalah baharu untuk ciri aerodinamik dan perlindungan yang lebih baik dengan kedudukan footrest turut dilaras semula bagi keselesaan tunggangan optimum.
Selain itu, lampu utama jenis Dual Projector LED juga bukan saja mendapat rekaan baharu yang dikatakan lebih menarik, tetapi memberikan pencahayaan lebih terang. Turut baharu adalah ruang simpanan depannya kini lebih besar dan dilengkapi dengan port pengecas USB Type-C.
Di bahagian trenkuasa, Yamaha Aerox (2025) mengekalkan enjin 155 cc VVA (Variable Valve Actuation), 1 Silinder, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, SOHC dengan transmisi auto CVT.
Menurut Yamaha Thailand, enjin berkenaan kini menggunakan kepala silinder, tensioner rantai dan lapisan silinder baharu yang menjanjikan prestas
Kuasa dihamburkan adalah 15.4 Hp @ 8,000 rpm dengan tork 14.2 Nm @ 8,000 rpm.
Setakat ini, tiada maklumat sama ada Yamaha Aerox (2025) di Thailand turut memiliki varian yang menggunakan Yamaha Electric CVT (YECVT) kerana akses ke laman web rasmi Yamaha Thailand seperti disekat.
Selain itu, pembaharuan menarik lain adalah sistem brek Yamaha Aerox (2025) kini menggunakan cakera (depan dan belakang) tetapi ABS kekal 1 saluran, saiz teras penyerap hentak depan ditingkatkan dari 26 mm kepada 30 mm dengan penyerap hentak berkembar belakang lengkap dengan sub-tank.
Begitupun, panel meter kekal digital LCD namun dengan rekaan baharu yang moden dan mudah dibaca serta memiliki ciri Y-Connect.
Ciri menarik lain adalah seperti Traction Control, Sistem Kunci Pintar dan ruang simpanan bawah pelana 25 liter.
Tiga pilihan warna ditawarkan iaitu:
Vivid Black
Silver Star
Racing Blue
Di Thailand, harga jualan Yamaha Aerox (2025) ini adalah 85,900 Baht (RM 11,372) dengan jaminan selama 5 tahun atau jarak perjalanan 50,000 km.
