'YAMAHA Akan Lakukan Apa Saja Untuk Bangkit'
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
3/14/20251 min read


BOS Pramac Yamaha, Paolo Campinoti menegaskan Yamaha tidak akan lama berada dalam situasi bergelut dan pengeluar Jepun itu 'akan melakukan apa saja' untuk kembali berada di puncak MotoGP.
Selepas menjulang gelaran dunia bersama Jorge Martin pada musim lalu menggunakan jentera Ducati, Desmosedici, Pramac membuat keputusan mengejut apabila meninggalkan pengeluar terbaik di grid MotoGP itu sejurus musim berakhir untuk menyertai Yamaha.
Sekalipun tidak kompetitif dan kali terakhir jentera Yamaha YZR-M1 meraih kemenangan adalah pada musim panas 2022, Campinoti menyifatkan prospek menyertai Yamaha sebagai 'hebat, penting dan cabaran menarik', dalam temuramah bersama Corriere Della Sera.
"Saya harap ia akan menjadi terma yang jangka pendek kepada pertengahan, yang keputusan akan tiba lebih awal daripada jangkaan," kata Campinoti.
"Kami sudah pun melihat beberapa petanda, pengeluar Jepun membuat pelaburan yang besar. Dan kemudian kami bermula dengan Moto2. Ia akan memberikan kami lebih banyak kekuatan pada masa depan."
Campinoti berkata dia sudah pun mula melihat kebangkitan Yamaha.
"Daripada masa di atas litar, jurangnya sudah mengecil sedikit. Dan kemudian dengan kaedah, dengan sumber," kata Campinoti.
"Syarikat seperti Yamaha, yang sentiasa menjadi rujukan, tidak akan menerima peranan sebagai pasukan sokongan. Mereka akan melakukan apa saja untuk kembali berada di atas.
"Dan kami bersama mereka, dengan Jack Miller, pelumba yang pernah saya ada, dengan Miguel Oliveira, lelaki yang bersedia, dengan (Tony) Arbolino dan (Izan) Guevara di Moto2.”
Campinoti dalam pada itu menyatakan apa yang berlaku kepada bekas pelumbanya, Martin sebagai nasib buruk.
