YAMAHA Akui 'Potensi' Honda 'Sambar' Fabio Quartararo, Tak Mustahil Guna Enjin V4!

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

8/15/20231 min read

YAMAHA mengakui 'berjaga-jaga' mengenai kemungkinan pelumba bintangnya, Fabio Quartararo yang juga juara dunia MotoGP musim 2021 membuat 'penghijrahan' sensasi ke Honda.

Pelumba kelahiran Perancis, Quartararo tak lagi berselindung dia tidak gembira berlumba dengan jentera Yamaha yang dilihat tidak kompetitif serta tak berupaya menghadiahkannya kejuaraan dunia musim ini.

Justeru, bekas pelumba Yamaha SRT itu memberi petunjuk jelas yang ujian di Misano, Itali bulan depan, lokasi di mana Yamaha akan mengkaji pelan perancangannya pada 2024 sebagai tempoh untuknya memahami sama ada masa depannya bersama pasukan itu cerah atau tidak.

Ketika ditanya oleh GPOne mengenai prospek kehilangan Quartararo kepada Honda, Pengarah Urusan Yamaha Racing, Lin Jarvis berkata: "Saya tidak gemar dengan perkataan 'takut'.

"Saya sedar, dan salah satu risikonya datang daripada Honda. Kerana Honda sentiasa mahukan pelumba terbaik, dan Fabio adalah salah seorang daripadanya.

"Untuk mengekalkannya, kami perlu mempunyai jentera yang kompetitif. Kami perlu benar-benar menunjukkan dengan fakta yang kami fokus sepenuhnya."

Dengan Quartararo memiliki kontrak bersama Yamaha sehingga penghujung 2024, dia begitupun bakal memperoleh rakan sepasukan baharu tahun depan apabila Alex Rins sah menggantikan Franco Morbidelli.

"Pasaran pelumba tahun depan juga akan menunjukkan beberapa pergerakan yang menarik," kata Jarvis. "Adakah Marc Marquez akan kekal atau bersara, kekal dengan Honda atau ke pengeluar lain?

"Apa yang saya tahu adalah kami perlu mengubah sistem pembangunan kami. Kami terbuka, mungkin kami akan menggunakan V4 musim depan. Tetapi masih ada potensi dalam pakej kami."

Selain itu, Jarvis menegaskan Yamaha boleh mengembalikan kegemilangan yang pernah diraih pasukan itu seperti di era Valentino Rossi atau ketika Quartararo menjuarai gelaran dunia pada 2021.

"Tahun ini kami kehilangan daya kompetitif kami. Tetapi dua tahun lalu kami memenangi gelaran dunia dengan Fabio," kata Jarvis.

"Kami juga mendahului kejuaraan dunia (MotoGP) sehingga pertengahan 2022. Realitinya adalah pengeluar Eropah sudah mengatasi pengeluar Jepun. Itu adalah situasi yang boleh berlaku dalam sukan permotoran, dalam F1 (Formula 1) juga.

"Adakah ia masih berterusan pada 2024? Kami tak tahu. Tapi, kami tidak begitu jauh, kami hanya tewas untuk tidak berada dalam Q2."